Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 berjumlah RM272.5 juta

SHAH ALAM, 1 APRIL: Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua berjumlah RM272.5 juta bagi menangani impak Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengumuman terbaharu itu susulan pakej pertama pada 20 Mac lalu berjumlah RM127.8 juta .

“Ini bermaksud Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM400 juta untuk kedua-dua Pakej Rangsangan
Ekonomi.

“Insya-Allah saya optimistik Selangor dan Malaysia akan berjaya mengharungi cabaran ini sebagaimana kita berjaya melepasi tentangansebelum ini,” katanya ketika mengumumkan pakej itu di kediaman rasminya di sini.

Berikut adalah pecahan butiran pakej rangsangan ekonomi fasa kedua:

A) Tabung Khas Bantuan Covid-19
Potongan gaji Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri serta anak-anak syarikat kerajaan negeri yang menjangka jumlah RM8.07 juta

B) Saringan Covid-19 atau mass test
Inisiatif untuk kawasan panas atau zon merah di Selangor dengan sasaran 5,000 orang dan kos berjumlah RM1.35 juta

C) Menghargai petugas barisan hadapan (frontliner)
Sejumlah RM1.344 juta diperuntukkan untuk bantuan makanan percuma kepada petugas kesihatan serta Insentif Penjagaan Anak-anak Frontliner kepada 2,500 keluarga berjumlah RM1.5 juta

D) Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100,000 untuk menyediakan makanan percuma kepada petugas media dan keselamatan.

E) Task Force Covid Negeri Selangor yang aktif merangka tindakan untuk memerangi pandemik Covid-19 menerima RM50,000

F) Membekalkan topeng muka, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan dengan perbelanjaan RM2 juta

G) Sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk stesen kuarantin Negeri Selangor yang beroperasi sebagai petempatan individu dalam pemerhatian bagi kluster tabligh dan ketibaan dari luar negara

H) Menambah baik Skim Peduli Sihat dengan peruntukkan RM42.5 juta bagi manfaat 85,000 penerima

I) Pesakit positif Covid-19 bakal menerima insentif RM1,000 manakala RM1 juta dibelanjakan bagi perkhidmatan kaunseling dan pakar untuk kesihatan mental melalui kelas interaktif

J) Penagguhan bayaran balik pinjaman secara automatik diberikan kepada mahasiswa bermula 1 April hingga 30 September serta menghulurkan bantuan makanan secara percuma melalui pihak universiti membabitkan peruntukan RM6.07 juta

K) Seramai 5,000 petani dan nelayan menerima bantuan khusus Agroprenuer dengan peruntukan RM500,000

L) RM1 juta diperuntukkan bagi membantu 2,000 petani, penternak dan nelayan dari segi input benih, ternakan, peralatan serta bahan mentah

M) Pasar Agro Selangor yang bertujuan menyediakan bekalan makanan segar kepada 300,000 penduduk di Selangor dengan peruntukan RM1 juta

N) Usaha digitalisasi sebanyak RM100.7 juta agar ekonomi negeri dapat mencipta peluang pekerjaan baharu serta menjaga pekerjaan yang sedia ada

O) Tempoh bayaran cukai tanah dan cukai petak dilanjutkan sehingga 31 Julai manakala tempoh bayaran premium dilanjutkan selama satu bulan bagi tempoh pelaksanaan PKP dengan perbelanjaan RM87.81 juta

P) Peruntukan khas kali kedua kepada Ahli Dewan Negeri sebanyak RM30,000

Q) Ahli-ahli majlis, Ketua Kampung Tradisi, Pengerusi MPKK Kampung Baru, Ketua Komuniti menerima peruntukan khas dari PBT masing-masing kecuali Majlis Daerah Sabak Bernam yang akan disalurkan oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukkam sebanyak RM6.91 juta