Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: Selangor ubah waktu operasi pasar pagi, pusat servis kenderaan

SHAH ALAM, 1 APRIL: Selangor mengubah waktu operasi beberapa perkhidmatan berkuat kuasa hari ini sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata setiausaha Kerajaan Negeri.

Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata pasar borong dibenar beroperasi bermula 4 hingga 10 pagi, pasar awam (6 pagi hingga 12 tengah hari), manakala pusat servis kenderaan dan kedai alat ganti dari 9 pagi hingga 4 petang.

“Operasi pasar raya, kedai runcit dan serbaneka, restoran (bawa pulang dan bungkus), perkhidmatan penghantaran makanan serta barangan runcit dan stesen minyak masing-masing dibenar beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

“Pengangkutan awam pula dari 6 hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam, pengangkutan komersial (digalak beroperasi mulai 7 malam hingga 7 pagi), manakala e-panggilan dan teksi dari 6 pagi hingga 10 malam,” katanya dalam pekeliling yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Amin berkata perubahan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, Isnin lalu.

Katanya, ia juga selaras ketetapan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

PKP fasa kedua dilaksanakan bermula hari ini hingga 14 April depan susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.