Categories
SELANGOR

Tular notis penutupan sementara Pos Laju di Selangor palsu

SHAH ALAM, 8 APRIL: Notis penutupan sementara Pos Laju di Selangor seperti yang tular di Facebook baru-baru ini adalah palsu.

Jabatan Penerangan Selangor dalam kenyataan memaklumkan Pos Malaysia Berhad tidak pernah keluarkan maklumat itu.

“Sebaliknya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai pejabat pos dan premis Pos Laju yang ditutup sementara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di https://newsupdate.pos.com.my,” kata kenyataan itu.

Mengenai berita tular kononnya rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air akan diletakkan di pusat kuarantin di Hotel Hilton Petaling Jaya dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan termasuk pesanan makanan tambahan juga tidak benar.

Kerajaan tidak menanggung sepenuhnya kos bilik dan makan di hotel yang dijadikan pusat kuarantin sebaliknya hanya membayar RM150 sehari seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Sementara itu, antara isu tular lain mengenai dakwaan berlaku transaksi meragukan dalam jumlah yang banyak dari Bank CIMB.

“CIMB Malaysia memaklumkan pihak mereka memberi jaminan kepada pelanggan bahawa transaksi kad debit sah yang telah dibuat. Insiden terpencil ini berkenaan transaksi tidak lengkap y dibuat pelanggan dengan peniaga luar negara seperti langgan atau perkhidmatan penstriman dalam talian.

“Bagaimanapun, transaksi tersebut dilabel semula sebagai debit terus menyebabkan kekeliruan kepada pelanggan,” jelas kenyataan tersebut.