Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Warga emas gembira petugas kesihatan sanggup datang rumah

KAJANG, 12 APRIL: Kalangan warga emas di Hulu Langat berasa gembira apabila pasukan perubatan sanggup datang ke rumah mereka untuk melakukan ujian saringan Covid-19.

Penduduk Sungai Ramal Dalam, Zubir Hakimi, 67, berkata inisiatif Kerajaan Negeri itu disambut baik memandangkan golongan sepertinya berisiko mendapat pelbagai jenis penyakit.

“Saya selalu terdengar ramai yang terkena Covid-19 adalah warga emas, kebetulan di kampung ini pula memang ramai seusia saya, memang takutlah.

“Bila ada doktor datang buat pemeriksaan, hati saya lebih lega dan sekurang-kurangnya tahu komuniti kampung di sini selamat,” katanya kepada SelangorKini ketika operasi saringan besar-besaran Covid-19 di Kampung Sungai Ramal Dalam.

Azlinah Suman, 43, pula berkata ibunya ternanti-nanti pasukan perubatan itu sejak semalam apabila Majlis Keselamatan Negara memaklumkan melalui sistem pesanan ringkas mengenai saringan akan dilakukan Kerajaan Negeri.

“Emak saya tidak sabar hendak buat ujian kerana tahu dirinya adalah kumpulan berisiko, saya juga berharap supaya dia diberikan kesihatan yang baik. Semoga usaha murni Kerajaan Negeri dan pasukan petugas perubatan beroleh kejayaan dan berharap ia diteruskan bagi membolehkan wabak ini terus lenyap,” katanya.

Pasukan petugas perubatan menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada penduduk di Hulu Langat pada 12 April 2020. Ujian itu dilakukan selepas pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk menjalankan saringan besar – besaran di zon merah di seluruh Selangor. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Fatimah Hassan, 68 pula berkata ujian saringan itu tidak perlu ditakuti kerana ia berlalu sekelip mata sahaja.

“Sebelum ini risau juga fikir macam mana ujian dibuat tetapi ia mudah sahaja dalam dua minit sudah siap. Makcik seronok kerana sudah buat ujian, bila doktor dan jururawat datang hendak tengok kita sihat atau tidak, kita kena hargai,” katanya.

Sejak semalam, Petugas Gerakan Operasi Saringan Komuniti Covid-19 Kerajaan Selangor (Selcare) melakukan ujian saringan besar-besaran di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal, Kajang dan Dusun Tua.

Pada 8 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri akan menjalankan saringan tersebut di zon merah bagi memerangi wabak berkenaan dengan menyasarkan ujian terhadap 5,000 orang.