Categories
AGENDA NASIONAL

Zon merah Covid-19 naik, Kulai daerah ke-29

SHAH ALAM, 13 APRIL: Kulai menjadi daerah ke-29 diisytihar sebagai zon merah Covid-19 selepas merekodkan 41 kes setakat 12 tengah hari semalam.

Mengikut angka Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), daerah itu mencatatkan pertambahan tiga kes, dengan jumlah kes di seluruh negara ketika ini 5,251.

“Terus patuhi Perintah Kawalan Pergerakan, duduk di rumah, (amalkan) penjarakan sosial termasuk di tempat kerja dan kerap basuh tangan,” kenyataan ringkas KKM dipetik di Twitter.

Lembah Pantai terus mencatatkan kes tertinggi iaitu 604, meningkat 12 kes berbanding kelmarin diikuti Hulu Langat (446) dan Petaling (371).

Setakat ini, hanya Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Terengganu belum merekodkan zon merah di daerah masing-masing.

Selangor masih mencatat bilangan kes Covid-19 tertinggi di seluruh negara iaitu 1,338 berbanding 1,329 kes, kelmarin.

KKM menetapkan kawasan yang lebih 40 kes sebagai zon merah, manakala zon jingga 21 hingga 40 kes. Tiada kes dianggap zon hijau, sementara 1 hingga 20 kes pula zon kuning.