Categories
AGENDA NASIONAL

37,081 jemaah tabligh disaring, 2,345 positif Covid-19, tiada kes baharu hari ini

SHAH ALAM, 11 MEI: Sebanyak 37,081 sampel ujian pengesanan Covid-19 sudah diambil daripada ahli jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Jamek Seri Petaling setakat ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,345 didapati positif membabitkan lima generasi, namun tiada pertambahan kes dilaporkan daripada kluster tersebut hari ini.

“Kita juga mengenal pasti seramai 18,728 pelajar, guru dan kakitangan daripada 370 madrasah dan sekolah tahfiz untuk dilakukan saringan pengesanan Covid-19.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 10,670 sudah disaring dan diuji dengan jumlah kes yang dikesan adalah 431 individu,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata seramai 31,408 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara sedang menjalani proses kuarantin wajib.

Katanya seramai 23,218 individu sudah selesai menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu dan dibenarkan pulang.

“Seramai 353 individu didapati positif iaitu bersamaan 1.12 peratus daripada jumlah tersebut dengan 267 positif pada swab pertama manakala 87 positif pada swab kedua pada hari ke-13 sebelum dibenarkan keluar pada hari ke-14,” katanya.