Categories
SELANGOR

Covid-19: Selangor catat tiga kes hari ini

SHAH ALAM, 11 MEI: Jumlah kes baharu positif Covid-19 di Selangor menurun apabila hanya tiga kes berbanding lapan yang direkodkan semalam.

Mengikut statistik Bilik Gerakan Covid-19 Selangor, dua kes dicatatkan di Hulu Selangor manakala satu di Hulu Langat.

“Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini adalah sebanyak 1,607 kes dengan 186 masih aktif.

“Seramai 1,359 pesakit sudah pulih dan dibenarkan keluar hospital manakala kes kematian kekal 20 orang,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor memaklumkan taburan data kes baharu bagi seminggu terakhir dilihat stabil dan graf kes dapat dilandaikan.

“Namun, harus diingat bahawa warga Selangor masih lagi tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD).

“Anda diminta terus patuh dengan empat perkara asas bagi menjalankan sebarang urusan antaranya penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan menggunakan SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) untuk mendaftar pelanggan,” tulisnya di Facebook.

Setakat 12 tengah hari tadi, Malaysia mencatatkan sebanyak 6,726 kes susulan pertambahan 70 kes baharu dengan 31 daripadanya membabitkan warga asing.

Seramai 88 individu sudah pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah keseluruhan pulih 5,113 atau 76 peratus daripada kes terkumpul.