Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 103 kes baharu, majoriti warga asing

SHAH ALAM, 29 MEI: Sebanyak 103 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan positif di Malaysia adalah 7,732, kata ketua pengarah kesihatan.

Daripada 103 kes baharu itu, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tujuh merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 96 kes penularan tempatan.

“Sebanyak 84 kes baharu melibatkan warga asing dengan 53 kes dikesan daripada kluster Pedas membabitkan pekerja kilang memproses ayam di Negeri Sembilan dan 24 kes merupakan kluster syarikat pembersihan. Hanya 12 kes melibatkan warga Malaysia,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 66 pesakit sudah pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah keseluruhan sembuh daripada jangkitan wabak itu ialah 6,235 setakat tengah hari tadi.

Katanya jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,382 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

“Lapan pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Katanya tiada kematian baharu dilaporkan, menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 di negara ini kekal sebanyak 115 kes.