Categories
AGENSI SELANGOR

Gagal pamer tanda harga, peniaga runcit kena tindakan

SHAH ALAM, 7 MEI: Sebuah kedai runcit semalam berdepan tindakan penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor selepas gagal mempamerkan tanda harga jualan gas LPG.

Dalam pemeriksaan di lapan premis runcit dan pasar raya sekitar Shah Alam, Puchong dan Klang, agensi tersebut yang bertindak mengikut Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 turut menyita barangan terbabit.

“Selain itu, dua aduan berjaya disiasat dan satu aduan menghasilkan kes. Pemeriksaan di kedai runcit mendapati peniaga meletakkan tanda harga pada setiap barang yang dijual dengan jelas,” kata agensi tersebut.

KPDNHEP Selangor memaklumkan bekalan roti dan barangan keperluan asas lain mencukupi dan peniaga memaklumkan sardin, telur serta barangan basah seperti ayam dan sayur mendapat permintaan tinggi.

Selain itu, pemeriksaan ke atas farmasi di sekitar Shah Alam dan Klang mendapati pengusaha mendapat bekalan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman daripada pembekal.

“Peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan situasi wabak Covid-19 dan bakal berdepan tindakan jika didapati menaikkan harga barangan secara tidak berpatutan,” katanya lagi.