Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Lindungi golongan berisiko, elak dedah kawasan sesak

SHAH ALAM, 15 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang awam supaya tidak membawa golongan berisiko ke kawasan tumpuan seperti pasar raya dan hospital jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketika ini KKM dalam fasa memberi nasihat namun tindakan tegas termasuk saman dan didakwa di mahkamah akan diambil sekiranya larangan dikuatkuasakan.

“Perkara ini sudah dibincangkan dalam Majlis Keselamatan Negara. Golongan berisiko seperti kanak-kanak dan warga emas hanya boleh dibawa ke hospital melalui janji temu sahaja.

“Sekarang kita bagi nasihat tapi selepas ini tindakan mengikut Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 akan dikenakan,” katanya ketika mengulas tindakan orang awam yang membawa golongan berisiko ke kawasan tumpuan pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Mengikut akta tersebut mana-mana individu yang disabitkan salah dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun jika ditahan.

Dr Noor Hisham hari ini memaklumkan pertambahan 36 kes baharu dengan 28 daripadanya adalah warga asing manakala 88 disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah keseluruhan sembuh 5,439 kes.

Jumlah kematian kekal 112 orang susulan tiada mangsa korban baharu hari ini.