AMPANG, 30 MEI: Kerajaan Negeri menyediakan penginapan percuma di Hotel de’ Palma Ampang bagi membantu 40 penghuni berikutan kejadian tanah runtuh membabitkan tujuh rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa awal pagi tadi.
“Kerajaan Negeri bersetuju membiayai penginapan kepada semua mangsa yang terlibat di Hotel De Palma,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.
Beliau pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian hari ini pula berkata semua mangsa ditempatkan di hotel itu selama seminggu susulan arahan supaya penduduk terbabit meninggalkan kediaman serta-merta.
“Kerajaan Negeri akan membantu penghuni yang terkesan dalam tempoh berkenaan manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berusaha mencari penempatan sementara (rumah sewa) untuk mereka.
“Kita menganggarkan kerja baik pulih tanah runtuh ini mengambil masa sekitar enam bulan untuk disiapkan. Justeru dalam tempoh itu penghuni akan tinggal di rumah sewa terlebih dahulu,” katanya.

Kejadian tanah runtuh jam 2.21 pagi dipercayai berlaku susulan hujan berterusan yang mengakibatkan pergerakan tanah.