Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

MB: Kekal duduk rumah walau PKP dilonggar

SHAH ALAM, 6 MEI: Rakyat digesa terus kekal duduk di rumah bagi memastikan penularan Covid-19 dapat diputuskan walaupun kerajaan telah melonggarkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, kata Dato’ Menteri Besar.

“Usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Bersama kita boleh mencegahnya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Antara perkara dikongsi Dato’ Menteri Besar ialah apabila seseorang individu duduk di rumah sekali gus ia dapat menghalang potensi penyakit itu dijangkiti dan menjangkiti orang lain.

Selain itu, beliau berkata ahli keluarga dan golongan berisiko (warga emas dan penyakit kronik) juga turut dilindungi apabila seseorang itu mengikut arahan untuk kekal berada di rumah.

“Usaha ini juga dapat mengekalkan zon hijau dan mengembalikan zon kuning kepada zon hijau. Namun, jika perlu keluar rumah semua pihak diseru untuk kekalkan jarak sosial dan amalkan kebersihan diri,” katanya.

Pada 3 Mei lalu, Selangor mengubah suai garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan Persekutuan bagi memperketatkan kawalan susulan pembukaan semula sektor ekonomi.