Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Sultan mahu negeri stabil, ADN jangan ganggu-gugat politik

HULU KLANG, 20 MEI: Wakil rakyat diingatkan patuh titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor yang mahu memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri stabil tanpa diganggu-gugat anasir politik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj berpesan supaya Kerajaan Negeri tidak diganggu secara politik pada majlis pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor sebelum ini.

“Saya kira semua harus patuh dan memahami hasrat sebenar tuanku yang ingin melihat pentadbiran ini stabil dan tiada kacau ganggu,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan hari raya Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor daerah Gombak di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2 di sini hari ini.

Beliau mengulas andaian wujud cubaan menukar Kerajaan Selangor seperti yang berlaku di Perak, Kedah, Johor dan Melaka.

Namun, Amirudin percaya Ahli Dewan Negeri (ADN) Pakatan Harapan (Pakatan) di negeri ini terus kekal menyokong pentadbiran Kerajaan Selangor berdasarkan mandat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau juga yakin dengan pendirian ADN PAKATAN tetapi turut mengingatkan mereka supaya meneruskan tanggungjawab dengan tidak mengkhianati pentadbiran negeri.

Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata tiada keperluan untuk menukar pentadbiran Selangor kerana tumpuan harus diberi terhadap usaha membendung ancaman Covid-19.