Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Hanya tujuh kes baharu, terendah setakat ini

SHAH ALAM, 8 JUN: Malaysia pertama kali merekodkan satu angka kes Covid-19 apabila hanya tujuh kes dicatatkan hari ini, paling rendah setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham berkata keseluruhannya sebanyak 8,329 kes dicatatkan dengan kes aktif kebolehjangkitan adalah 1,518 kes.

“Daripada tujuh kes baharu yang dilaporkan, dua adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala lima kes penularan dalam negara pula membabitkan warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Berikut perincian bagi lima kes penularan dalam negara:

• Dua kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8294) di Sepang, Selangor
• Satu kes saringan tempat kerja dari Kluster Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
• Satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas, Sabah
• Satu kes saringan komuniti di Kota Kinabalu, Sabah

Dr Noor Hisham berkata sebanyak enam kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan satu daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata jumlah kematian kekal 117 orang atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sebanyak 20 pesakit lagi berjaya sembuh menjadikan jumlah kumulatif kes pulih ialah 6,694 kes atau 80.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya lagi.