Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hulu Selangor bebas kes aktif Covid-19, kini zon hijau – MB

SHAH ALAM, 15 JUN: Hulu Selangor mencatatkan sifar kes aktif Covid-19 hari ini sekali gus bersatus zon hijau pertama di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

“Alhamdulillah daerah Hulu Selangor menjadi zon hijau dan tiada zon merah di Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata dua kes baharu positif wabak itu direkodkan di Selangor sehingga jam 12 tengah hari tadi iaitu satu kes membabitkan warga emas di pusat jagaan dekat Kuala Selangor dan satu lagi berkait kontak rapat dikesan berlaku di Sepang.

Sementara Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan corak bagi kes baharu itu kekal sama seperti semalam yang turut mencatatkan dua kes.

Pertambahan kes positif itu menyebabkan jumlah kes di Selangor meningkat kepada 1,998.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 41 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 8,464 serta kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak 973 kes.