Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Bekas pesakit Covid-19 antara kes import dikesan di Kemboja

PUTRAJAYA, 29 JUN: Seorang daripada dua warga Kemboja yang dikesan positif Covid-19 sebaik tiba ke negara asal dari Malaysia, merupakan bekas pesakit kes indeks ke-1,051 yang disahkan sembuh.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata seorang lagi penumpang yang disahkan positif merupakan pelajar berusia 15 tahun yang belajar di sebuah pusat tahfiz di negara ini.

Beliau berkata pihaknya baharu dimaklumkan oleh pihak berkenaan di Kemboja dan aktiviti pengesanan kontak rapat kes terlibat akan dijalankan.

“Seorang daripada mereka merupakan kes lama di Malaysia iaitu kes ke-1,051. Walaupun dikesan positif tetapi mungkin ia peluruhan virus jadi mungkin tak membimbangkan… dia masih dikesan positif menggunakan ujian RT-PCR (Reverse Transcriptase – Polymerase Chain Reaction) contohnya, tapi virus sudah mati,” katanya.

Bercakap pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini, Dr Noor Hisham berkata KKM juga akan bekerjasama dengan pengendali lapangan terbang dan syarikat penerbangan terlibat bagi mengenal pasti individu yang terdedah dengan kes itu dalam pesawat berkenaan.

Semalam, media antarabangsa melaporkan terdapat dua kes positif import melibatkan warga Kemboja yang menaiki penerbangan terus dari Malaysia ke negara itu pada Jumaat.

Selain 103 penumpang warga Kemboja dalam penerbangan itu, dilaporkan terdapat dua rakyat Malaysia menaiki pesawat sama.

-BERNAMA