Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pelan pemulihan ekonomi dibentang dalam sidang DNS

GOMBAK, 27 JUN: Kerajaan Negeri bakal membentangkan pelan pemulihan ekonomi jangka sederhana pada Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) yang berlangsung 13 Julai ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelan pemulihan dirangka untuk tempoh enam bulan terakhir tahun ini bagi memastikan Selangor kekal berdaya saing dan mampan susulan impak Covid-19.

“Saya akan maklumkan kepada DNS berkenaan perancangan Kerajaan Negeri sehingga akhir tahun supaya kita dapat pulihkan ekonomi.

“Selain itu kita juga akan membentangkan pencapaian pentadbiran Kerajaan Selangor,” katanya selepas menghadiri program Ziarah Kasih DUN Sungai Tua, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menziarahi penduduk di Kampung Melayu Batu Caves pada 27 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri melalui Ahli Dewan Negeri (ADN) menyampaikan bantuan secara langsung melebihi RM1 juta kepada keluarga yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bantuan secara langsung ini tidak termasuk dengan pengecualian cukai dan sewa premis serta pelbagai bantuan lain kepada penjaja dan peniaga,” katanya.

Sebelum ini Kerajaan Selangor membelanjakan RM400 juta untuk melaksanakan dua Pakej Rangsangan Ekonomi.

Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 berjumlah RM127.78 juta yang diumumkan pada 20 Mac memberi manfaat kepada petugas barisan hadapan, mahasiswa, peniaga, penjaja, usahawan Hijrah dan rakyat.

Kelonggaran turut diberikan kepada ADN untuk menggunakan peruntukan sehingga RM30,000 bagi membantu rakyat membeli barang keperluan harian.

Kerajaan Negeri Selangor sekali lagi mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua berjumlah RM272.5 juta pada 1 April.