Categories
AGENSI SELANGOR

Penghuni pusat pemulihan antara positif Covid-19 di Selangor

SHAH ALAM, 7 JUN: Lima daripada 12 kes baharu Covid-19 di Selangor hari ini membabitkan kes import dalam kalangan rakyat tempatan.

Menurut statistik Bilik Gerakan Covid-19 negeri, empat kes dilaporkan dari India manakala satu dari Brunei.

Selain itu, tiga kes membabitkan pusat tahfiz di Petaling, Gombak dan Sepang, satu kes penjawat awam di Klang, dua dari penghuni pusat pemulihan dadah dan satu dari tahanan di Ibu Pejabat Polis Sabak Bernam.

Kes hari ini turun dua berbanding semalam. Keseluruhannya, Selangor mencatatkan 1,965 kes Covid-19 setakat jam 12 tengah hari tadi.

Malaysia merekodkan 19 kes baharu hari ini, keseluruhan 8,322 kes dan 39 pesakit lagi pulih. Jumlah kematian kekal 117 orang.