Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Tujuh kes baharu di Selangor jangkitan luar negara

SHAH ALAM, 4 JULAI: Selangor mencatatkan tujuh kes baharu Covid-19 hari ini dengan kesemuanya membabitkan jangkitan dari luar negara.

Jabatan Kesihatan Negeri memaklumkan jumlah itu meningkat berbanding tiga semalam tanpa membabitkan penularan dalam kalangan warga tempatan daripada keseluruhan 10 kes di Malaysia.

“Tujuh kes dilaporkan melibatkan pengembara dari Arab Saudi dan semua kes luar negara setakat ini adalah 148,” katanya dalam kenyataan.

Peningkatan ini menjadikan jumlah kes kumulatif di Selangor adalah 2,058 sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Secara keseluruhan Hulu Langat kekal mencatatkan kes kumulatif tertinggi dengan 631 kes diikuti Petaling (437), Gombak (259), Klang (190), Sepang (153), Hulu Selangor (77), Kuala Selangor (69), Kuala Langat (64) dan Sabak Bernam (30).

Tiga kes penularan tempatan yang direkodkan hari ini membabitkan dua rakyat Malaysia di Kuala Lumpur dan Sabah sementara satu bukan warganegara di Negeri Sembilan.