Categories
AGENDA NASIONAL

Jualan asing berterusan dalam jumlah lebih kecil

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Pelabur antarabangsa menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia dengan melupuskan ekuiti tempatan bernilai RM212.1 juta dalam tempoh antara 6 hingga 9 Julai, lebih kecil jumlahnya berbanding RM339.4 juta yang dijual sepanjang minggu lepas.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata Bursa Malaysia telah memulakan minggu urus niaga dalam nada positif dengan dana asing kembali ke pasaran, menguasai RM79.9 juta bersih ekuiti tempatan pada hari Isnin, sekali gus mengaut keuntungan penjualan selama 13 hari.

Indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turut menyaksikan peningkatan 1.6 peratus kepada 1,576.90 mata pada hari yang sama, keuntungan satu hari terbesar dalam tempoh lebih dari sebulan.

“Kerancakan urus niaga di FBM KLCI pada hari Isnin adalah sejajar dengan bursa serantau lain, yang meningkat kerana para pelabur menjangkakan kebangkitan pertumbuhan ekonomi global, disokong oleh pemulihan aktiviti ekonomi di China,” kata Adam kepada Bernama.

Bagaimanapun, kerancakan itu berubah pada Selasa susulan tindakan para pelabur asing melambakkan sejumlah RM289.7 juta bersih ekuiti tempatan, menjadikannya aliran keluar bersih asing terbesar dalam sehari sejak awal Jun tahun ini.

Penjualan bersih asing yang luar biasa itu (Selasa) seiring dengan kejatuhan FBM KLCI sebanyak 0.7 peratus selepas Bank Negara Malaysia memutuskan untuk menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 1.75 peratus, paras terendah sejak 2004.

Pada hari yang sama, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata agensi-agensi antarabangsa telah mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada 2021 akan berada dalam lingkungan 6.3 peratus hingga 7.5 peratus.

Namun begitu, beliau berkata unjuran itu bergantung kepada kejayaan berterusan Malaysia dalam menguruskan Covid-19, serta usahanya memacu dan memelihara ekonomi ke arah pemulihan dan pertumbuhan.

Untuk tahun 2020 pula, KDNK telah diunjurkan dalam sekitar -3.8 peratus hingga 0.5 peratus oleh pelbagai agensi.

Tengku Zafrul turut mengumumkan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November, dirangka berlandaskan empat tema utama iaitu menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, melestarikan kehidupan dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Sementara itu, Adam berkata aura positif kembali ke pasaran tempatan pada hari berikutnya (Rabu) selepas para pelabur asing mengaut keuntungan berjumlah sehingga RM229.1 juta bersih ekuiti tempatan, melonjakkan FBM KLCI ke paras tertinggi sejak akhir Januari pada 1,583.50 mata.

“Walaupun terdapatnya kebimbangan akan gelombang kedua pandemik Covid-19, pasaran masih disokong oleh minat untuk kaunter pembuat sarung tangan, yang akan mendapat banyak manfaat daripada rancangan peluasan kapasitinya,” jelas Adam.

Sehubungan itu, mood urus niaga pada Khamis berubah menjadi suram berikutan langkah pelabur antarabangsa menjual RM231.5 juta bersih ekuiti tempatan kerana ketiadaan pemangkin baharu.

“Meskipun dengan aktiviti penjualan oleh pelabur asing, bursa tempatan cuma mencatatkan penurunan kurang daripada 0.1 peratus kepada 1,583.25 mata pada hari yang sama. Ini sebahagiannya dibantu oleh Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara yang mengukuh 18.2 peratus bulan ke bulan pada Mei 2020 di celah-celah pembukaan semual aktiviti perniagaan,” kata beliau.

Malaysia mencatatkan aliran keluar bersih asing kedua tertinggi iaitu RM16.74 billion setakat tahun ini selepas Thailand.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Bhd Datuk Muhamad Umar Swift berkata pasaran saham tempatan menyaksikan penyertaan menggalakkan pelabur runcit baru-baru ini berbanding setahun lepas, terutamanya dalam pelaburan tunai.

Pada Jumaat, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia Bhd telah mengumumkan semakan semula secara sementara pengurusan pasaran dan mekanisme kawalan sedia ada seperti pemutus litar untuk memberi kestabilan dan keyakinan tambahan dalam pasaran.

Semakan semula itu adalah untuk tempoh enam bulan dari 20 Julai, 2020 hingga 18 Jan, 2021.

Antaranya, tahap pemutus litar akan dikurangkan kepada dua – apabila FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) merosot 10 peratus dan 15 peratus pada hari dagangan – daripada tiga tahap pada masa ini (10 peratus, 15 peratus dan 20 peratus).

Sementara itu, antara perkembangan korporat yang berlaku sepanjang minggu ialah:

Pada Isnin, AirAsia Group Bhd telah mengumumkan kerugian bersih RM803.85 juta untuk suku pertama berakhir 31 Mac, 2020, berbanding keuntungan bersih RM96.09 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Meskipun, syarikat penerbangan tambang murah itu mencetuskan kriteria yang tertakluk kepada Perenggan 8.04 dan Perenggan 2.1(e) Nota Amalan 17 (PN17) daripada keperluan penyenaraian utama, AirAsia pada Rabu memaklumkan syarikat tidak akan diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai PN17 dan tidak akan diminta untuk mematuhi tanggungjawab Main LR untuk tempoh 12 bulan dari tarikh pengumuman ini.

Pada hari berikutnya, syarikat itu yang juga merancang mengekalkan mudah tunai untuk memastikan aliran tunai mencukupi, menerima petanda sokongan daripada institusi kewangan tertentu berhubung permohonannya bagi pembiayaan bernilai lebih RM1 bilion.

Sementara itu, Sime Darby Plantation Bhd (SDP) pula telah meluahkan kebimbangan terhadap tuduhan dalam petisyen yang dikemukakan oleh pertubuhan bukan kerajaan Liberty Shared (LS) kepada pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (AS) pada 20 April.

Dilaporkan LS mahu AS menyekat import produk minyak sawit dan minyak sawit SDP berasaskan kepada tuduhan ia dihasilkan sepenuhnya atau sebahagiannya oleh buruh paksa dan buruh kanak-kanak SDP serta syarikat gabungannya.

Menyifatkan tuduhan itu sangat berat, SDP berkata ia adalah bertentangan dengan komitmen dinyatakan pengeluar minyak sawit itu seperti terkandung dalam Piagam Hak Asasi Manusia dan Piagam Pertanian Bertanggungjawab.

Dalam perkembangan lain, Proton Holdings Bhd telah menjual 1.8 juta unit model ikonik Saga, sejak mula dikeluarkan pada 9 Julai 1985, menjadikannya model kenderaan paling popular jenama automotif Malaysia.

Malaysia Airlines Bhd dan Japan Airlines (JAL) pula akan melancarkan perkongsian perniagaan bersama pada 25 Julai, 2020 yang mana kedua-dua syarikat penerbangan ini akan bekerjasama secara komersial dalam penerbangan antara kedua-dua negara.

Dengan MAB menyambung semula penerbangan ke Jepun bermula Julai, kedua-dua syarikat penerbangan akan menawarkan empat perkhidmatan mingguan antara Kuala Lumpur-Tokyo Narita pada Julai dan Ogos.

Dalam pada itu, KPJ Healthcare Bhd (KPJ) menjangka pemulihan secara berperingkat bagi jumlah pesakit mendapat rawatan daripada perkhidmatan penjagaan kesihatannya menjelang akhir tahun ini.

Kadar penginapan penyedia penjagaan kesihatan itu meningkat kepada 40 peratus pada bulan Jun tahun ini daripada 31 peratus dicatatkan pada Mei dan sekitar 20 peratus pada bulan April, berikutan langkah kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengaktifkan semula ekonomi.

– BERNAMA