Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB syukur kebenaran tambah jemaah ikut kapasiti masjid, surau

KAPAR, 17 JULAI: Dato’ Menteri Besar menyambut baik perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor hari ini untuk menambah bilangan jemaah solat Jumaat dan fardu mengikut kapasiti sebenar rumah ibadat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan itu menunjukkan keberkesanan usaha membendung penularan Covid-19 dan berharap masyarakat kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Semalam Selangor mencatatkan sifar kes baharu kali keempat, namun kita perlu hati-hati kerana virus masih boleh menyerang bila-bila masa jika tidak berhati-hati.

“Ingatan berterusan berhubung SOP juga penting untuk dipatuhi,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid At-Taqwa Bukit Kapar di sini.

Turut serta Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Pada 3 Julai lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan semua masjid dan surau dibuka semula untuk solat Jumaat dan fardu lima waktu.