SHAH ALAM, 3 JULAI: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) semalam menyita sebuah kilang di kawasan perindustrian Bukit Changgang, Kuala Langat kerana menambah struktur bangunan tanpa kebenaran.
Yang Dipertuanya Mohamad Zain A Hamid berkata kilang memproses barangan dari China yang memiliki lebih 10 pekerja juga beroperasi tanpa lesen.
“Tindakan mengikut Akta 133, Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974 dan pemilik diberi arahan lisan supaya tidak cuba memotong tali sita atau berdepan tindakan mahkamah.
“Semua pemilik kilang di daerah ini diingatkan sentiasa mematuhi peraturan dan tidak memikirkan keuntungan semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, dalam operasi berlainan, MPKL menutup tiga premis di sekitar Kampung Bukit Changgang dan Labohan Dagang yang tidak memiliki lesen peniagaan serta dikendalikan warga asing.
“Pelbagai barangan disita sebagai bukti. Sekali lagi diingatkan kita tidak pernah memberi atau mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga asing di daerah ini,” kata Mohamad Zain lagi.