Categories
AGENSI SELANGOR

Pelan pemulihan pastikan Selangor unggul teraju ekonomi

SHAH ALAM, 16 JULAI: Pelan pemulihan ekonomi dibangunkan Kerajaan Negeri berjumlah RM55.85 bilion menjadikan Selangor terus unggul sebagai peneraju ekonomi negara, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif menerusi Pakej Selangor Prihatin fasa ketiga membolehkan negeri ini menangani kesan jangka panjang dan sederhana akibat Covid-19.

“Tiga asas dibina iaitu keselamatan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan dibahaskan dengan menyeluruh oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) kerajaan serta pembangkang,” katanya dalam video dimuat naik di Twitter hari ini.

Amirudin menzahirkan penghargaan atas kerjasama ADN yang memberi sokongan terhadap pembangunan inisiatif berkenaan sebagai usaha memperkukuhkan struktur ekonomi negeri.

“Seramai 20 ADN berbahas dan membincangkan banyak perkara sangat penting khususnya untuk digitalisasi rakyat serta bagaimana mempertahankan kedudukan ekonomi,” katanya.

Pada 13 Julai lalu, Amirudin membentang pelan pemulihan ekonomi iaitu kesinambungan dua fasa pakej Selangor Prihatin pada Mac lalu. Sehingga kini sebanyak RM260,144,464.54 dibelanjakan untuk manfaat kepada 3.5 juta rakyat Selangor.

Usul mengenai pelan tersebut diluluskan pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam.