Categories
AGENDA NASIONAL

Penerangan kepada rakyat bantu PAKATAN menang kerusi

SHAH ALAM, 26 JULAI: Penerangan awal membabitkan pelbagai isu diyakini membantu Pakatan Harapan (PAKATAN) memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum (PRU).

Ketua penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata pengalaman 22 bulan mentadbir Putrajaya tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjelaskan kepada rakyat.

“Saya yakin dan percaya kalau hari ini mula beri penerangan, selain gempur Ampang dan Gombak kita juga mampu berdepan PRU tergempar,” kata Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika berucap pada Konvensyen Penerangan KEADILAN di Ampang hari ini.

Beliau berkata terdapat kelalaian ketika PAKATAN menjadi kerajaan menyebabkan rakyat tidak menerima maklumat dengan betul.

“…jentera penerangan tidak aktif sampai ke bawah. Contoh isu Tabung Haji kerana masa itu kita sibuk kendalikan kementerian dan tidak sempat yakinkan rakyat.

“Sekarang kita ada sejuta ahli. Jika semua jadi jentera penerangan dan mainkan peranan, Insya-Allah datanglah apa pun PRU kita berjaya dapat mandat rakyat,” katanya.

Ahli parlimen Hang Tuah Jaya turut menyarankan kepimpinan menjayakan lebih banyak aktiviti di peringkat negeri dan cabang selain melatih ahli bawahan.