Categories
ADN SELANGOR

Permatang berpotensi jadi hab makanan Jawa, laut

SHAH ALAM, 9 JULAI: Permatang memiliki pelbagai produk makanan berasaskan hasil laut dan masyarakat Jawa yang berpotensi diketengahkan kepada pelancong, kata ahli dewan negerinya.

Rozana Zainal Abidin berkata beberapa restoran dan premis makanan dengan kebanyakan diusahakan penduduk setempat menawarkan sajian tersebut pada harga berpatutan sekali gus mampu memenuhi citarasa pelanggan setiap kali berkunjung ke kawasan berkenaan.

Beliau berkata antara tempat wajib dikunjungi ialah Warung Udang Galah di Kampung Baru Pasir Penambang yang menyajikan aneka menu seperti udang masak lemak, udang tepung berempah dan udang masak merah.

“Mereka yang datang ke Permatang perlu merasai keenakan mi udang galah banjir di Pasir Penambang, Kuala Selangor dan restoran ini sering menjadi tumpuan warga kota termasuk selebriti. Kebiasaannya, pelanggan akan menghubungi pemilik restoran terlebih dahulu sebelum datang.

“Bagi penggemar makanan Jawa pula, jangan ketinggalan mencuba nasi ambeng asli di Warung Ibu di Kampung Sungai Gulang-Gulang, Kuala Selangor. Makanan tradisi ini bukan hanya disukai masyarakat Jawa tetapi kaum Melayu, Cina dan pelancong Inggeris,” katanya kepada SelangorKini.

Nasi goreng udang galah di Pasir Penambang, Kuala Selangor. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada masa sama, Rozana berkata media sosial berperanan penting menonjolkan keunikan sesebuah lokasi selama ini kurang diketahui umum bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat.

“Konsep kehidupan masa kini jauh berbeza, jika dulu kita kena turun ke satu-satu kawasan untuk menikmati apa yang terdapat di situ tetapi sekarang kita boleh ulas (review) melalui media sosial sahaja.

“Saya gembira kerana kebanyakan rakyat sangat berlapang dada berkongsi maklumat mengenai tempat dan juadah dinikmati di samping mengajak lebih ramai untuk mencuba,” katanya.

Destinasi makanan lain di sekitar Dewan Undangan Negeri Permatang antaranya Warung Dimyati Roti Canai Pelangi, Restoran Ah Yu Kuala Sungai Pasir Penambang, Azee Restoran Satay Hut Tanjong Karang,  Emanis Bahulu Panas dan Kunyah-Kunyah Mis Kiah.