Categories
AGENDA NASIONAL

Dua warga Myanmar dijel 16 bulan, simpan LPG di premis tidak dibenarkan

SHAH ALAM, 21 OGOS: Dua warga Myanmar masing-masing dihukum penjara 16 bulan oleh Mahkamah Sesyen Klang hari ini atas pertuduhan menyimpan barangan kawalan iaitu gas petroleum cecair (LPG) di premis yang tidak dibenarkan pada Januari lepas.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Datin M. Kunasundary selepas kedua-dua lelaki tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Mg Sein Kyaw, 34, dan Saw Wah, 29, didakwa menyimpan barang kawalan berjadual iaitu 2,978.75 kilogram (kg) LPG di premis yang tidak dibenarkan oleh pengawal bekalan di Jalan Kebun, Klang pada 11.40 pagi, 16 Januari lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, tertuduh boleh didenda hingga RM3 juta atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata kedua-dua warga Myanmar tersebut ditahan dalam satu serbuan pada 16 Januari lepas di premis penyimpanan LPG berkenaan dan mengaku sebagai pekerja di situ.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis tersebut, KPDNHEP turut menyita beberapa barangan antaranya sebuah lori, 205 tong LPG 14kg, 58 tong LPG 50kg, 25 unit hos penyambung, dua unit alat penimbang elektronik dan dua telefon bimbit,” katanya.

– BERNAMA