Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hulu Kelang catat satu kes Covid-19, Gombak kini zon kuning

SHAH ALAM, 17 OGOS: Daerah Gombak kini berstatus zon kuning selepas mukim Hulu Kelang mencatatkan satu kes aktif Covid-19 hari ini.

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan pertambahan kes baharu itu menyaksikan daerah Gombak merekodkan 263 kes setakat ini.

“Sasaran #SelangorBebasCOVID19 mampu dicapai apabila komitmen dilaksanakan bersama.

“Jadi mari kita jaga penjarakan fizikal satu meter, basuh tangan dengan kerap dan guna Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) untuk daftar pengunjung di premis,” katanya menerusi Twitter.

Sebelum ini, hanya daerah Hulu Langat berada di zon kuning dengan satu kes Covid-19 yang dirawat menjadikan keseluruhan 634 kes.

Selangor merekodkan 2,150 kes keseluruhan setakat ini dan jumlah kematian kekal 24 orang.

Malaysia merekodkan 12 kes baharu Covid-19 hari ini membabitkan 10 penularan tempatan dan dua jangkitan dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata satu kes baharu direkodkan di Selangor hari ini dikesan menerusi saringan bergejala di Hospital Sungai Buloh.