Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Petaling catat lebih 8,000 kes dalam tempoh dua minggu

SHAH ALAM, 23 MEI: Sebanyak 23,212 kes Covid-19 dikesan di Selangor dalam tempoh dua minggu dengan daerah Petaling mencatat bilangan tertinggi iaitu 8,189 kes.

Berdasarkan perkongsian Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) daerah kedua tertinggi ialah Hulu Langat dengan 4,809 kes diikuti Klang (3,735), Gombak (2,600), Kuala Langat (1,312) dan Sepang (1,045).

Hanya tiga daerah mencatat bilangan kurang dari 1,000 kes bagi tempoh 8 Mei hingga semalam iaitu Kuala Selangor (833), Hulu Selangor (445) dan Sabak Bernam (244).

Bagi tempoh yang sama juga Saringan Komuniti turut diadakan di dua daerah iaitu Hulu Langat dan Gombak di mana 1,171 individu berkemungkinan positif Covid-19 berdasarkan perkongsian Dato’ Menteri Besar di Facebook, semalam.

Jumlah 1,171 kes itu adalah sekitar 15 peratus daripada keseluruhan kes yang direkod bagi kedua-dua daerah iaitu 7,409 kes (Hulu Langat 4,809 & Gombak 2,600) dan 5 peratus daripada keseluruhan kes di Selangor.

Semalam, Dato’ Seri Amirudin Shari mendedahkan jumlah tersebut hasil saringan di 14 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah Hulu Langat dan Gombak sejak 8 Mei lalu.

“Hingga 20 Mei, hampir 20,000 individu telah menghadiri ujian saringan Covid-19 percuma yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

“Saringan ini dibuat bagi mengesan kes-kes positif bagi mengelak ‘silent carrier’ (pembawa senyap) dan memutuskan rantaian perebakan,” katanya.

Amirudin berkata meskipun saringan percuma menyumbang kepada jumlah kes yang tinggi, namun ia perlu dibuat bagi memastikan individu positif tidak menyebarkan virus tanpa sedar.

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Kes mingguan Selangor naik ketara, tambah lebih 2,000

SHAH ALAM, 4 MEI: Kes mingguan Covid-19 di negeri ini mencatat peningkatan ketara, kata Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC).

Jelas pasukan itu, data pada 17 hingga 23 April menunjukkan sebanyak 4,085 kes direkodkan, namun ia meningkat kepada 6,398 kes pada 24 hingga 30 April lalu.

“Jumlah kes mingguan Selangor bertambah lebih 2,000 berbanding minggu lepas iaitu kenaikan sangat ketara.

“Warga Selangor perlu serius mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan saling berpesan kepada orang ramai berkenaan protokol keselamatan sewajarnya,” kata STFC menerusi Twitter.

Menurut pasukan itu lagi, beberapa bazar Ramadan serta sekolah telah diarahkan tutup sepanjang minggu ini bagi mencegah perebakan wabak.

“Sekiranya perkembangan ini tidak dipandang serius dan pematuhan SOP hanya sambil lewa sahaja, ia berpotensi memberi akibat yang tidak menyenangkan kepada ekosistem kesihatan dan juga ekonomi,” katanya.

Semalam negeri ini merekodkan 637 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 13,5486.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pekerja kembali ke pejabat harus patuhi SOP, elak jangkitan

SHAH ALAM, 1 APRIL: Pekerja yang kembali bertugas di pejabat diminta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) mengekang Covid-19 dengan lebih teliti dan bertanggungjawab.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata langkah berkenaan dapat membantu mengurangkan bilangan jangkitan wabak memandangkan banyak kluster di tempat kerja.

“Kebenaran diberikan kerajaan ini bukan bermakna kita sudah menang melawan Covid-19 atau pandemik ini telah berjaya diatasi sebaliknya bagi memastikan ekonomi dan sektor pekerjaan beroperasi dengan kapasiti maksimum.

“Ini juga langkah memulihkan ekonomi negara secara berterusan. Jadi pekerja diingatkan sentiasa patuh SOP supaya tiada jangkitan di tempat kerja selepas ini,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kepada SelangorKini.

Bermula hari ini kerajaan membenarkan syarikat swasta beroperasi dengan kapasiti penuh selepas arahan pematuhan dasar 30 peratus bekerja dari rumah dibatalkan.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu lalu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

STFC sedia bantu warga emas daftar suntik vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 22 MAC: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) sedia membantu warga emas negeri itu mendaftar terima suntikan vaksin Covid-19 bagi memastikan mereka tidak tercicir.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia kerana masih terdapat kira-kira 90 peratus  golongan berkenaan belum mendaftar, lapor Sinar Harian.

Jelasnya, perkara itu berlaku disebabkan sebahagian daripada mereka tidak mempunyai akses aplikasi MySejahtera, kekangan internet selain tidak mengetahui cara pendaftaran secara digital.

Justeru, pihaknya menerusi Kerajaan Negeri akan membantu golongan terbabit membuat pendaftaran melalui pelbagai platform digital dan secara manual.

“Kerajaan Negeri masih di peringkat penyelarasan dan peringkat permulaan ini kita akan membantu pendaftaran suntikan vaksin,” kata pengerusi STFC.

Pada masa sama,  Dr Dzulkefly  berkata pihaknya akan turut bekerjasama dengan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi membantu pendaftaran vaksin.

“Pengerusi MPKK akan diberi pendedahan cara bagaimana untuk membantu pendaftaran bagi mereka yang belum mendaftar dengan menggunakan aplikasi atau terus melalui laman web disediakan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

SELangkah terbukti berkesan, wajar dimanfaat KKM – Dr Dzulkefly

Berikut perkongsian Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung kecaman terhadap sistem SELangkah bagi membendung penularan Covid-19 di Selangor:

 

Perkongsian ini bukan sekadar untuk menonjol perbezaan antara SELangkah dan MySejahtera sebagai platform ‘Contact Tracing’ semata-mata, tetapi bagaimana keupayaan SELangkah wajar dimanfaatkan oleh KKM dan Kerajaan PN, yang sedang bergelut dan ternyata gagal menangani cabaran gelombang ke-3 ini.

Tulisan saya ini adalah respon kepada artikel yang ditulis oleh Fazreen Kamal bertajuk “Di Sebalik aplikas SELangkah, kes harian Covid-19 Selangor terus meningkat” yang telah diterbitkan pada 3 Februari 2021 jam 8 pagi di laman sesawang MalaysiaNow.

Di saat-saat getir negara berdepan dengan pandemik Covid-19, wujud pula sesetengah pihak yang cuba menakut-nakutkan khalayak umum dengan menyebarkan maklumat yang tidak benar, sekali gus membantutkan usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk membendung keluk gelombang ke-3 pandemik Covid-19.

Sejak diperkenalkan pada 4 Mei 2020, SELangkah terbukti efisien. Dengan kepintaran jejak kontak rapat berasaskan kod QR, aplikasi ini mampu mengumpul data maklum balas daripada rakyat, meninjau situasi terkini, dan menyediakan informasi semasa kepada penggunanya. SELangkah maju sebagai aplikasi digital yang memanfaatkan sains data (Data Science) dan teknologi mesin (Machine Learning) bagi mengawal Covid-19.

MySejahtera pula, yang dilancarkan pada 20 April 2020 untuk kegunaan rakyat Malaysia, sekadar mengikuti jejak kontak rapat yang dipelopori oleh SELangkah.

Walaubagaimanapun, pertikaian siapa yang berjaya buat sesuatu terlebih dahulu bukan persoalan utamanya.

Sebaliknya, kita mahu memastikan kebolehhantaran kedua-dua sistem ini. Aplikasi SELangkah direka khas untuk membenarkan sebanyak mungkin data dianalisis. Aplikasi ini bukan sahaja bertindak sebagai platform pendaftaran selepas mengesan kod QR di telefon bimbit, bahkan ia memaklumkan penggunanya mengenai kawasan berisiko tinggi dan mengemaskini pangkalan data (berdasarkan data yang dihantar oleh individu) berkenaan kemungkinan peletusan kluster baharu dan lokasi yang mungkin terbabit.

Aplikasi SELangkah ini dibangunkan dengan begitu mapan sehinggakan jejak kontak rapat hanya memerlukan tenaga kerja yang minimum dan membenarkan pengecaman inidividu yang terdedah dengan pantas supaya langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

Kesemua data ini disimpan di Malaysia dan terjaga rapi di mana hanya data-data nama pengguna, nombor telefon dan lokasi pendafataran sahaja yang direkodkan.

Data-data ini dijamin keselamatannya dan hanya boleh diakses oleh pegawai kesihatan awam dan ejen STFC. Pengguna juga boleh menarik balik data tersebut sekiranya perlu.

SELangkah telah menerima sambutan yang memberangsangkan oleh golongan peniaga. Mereka memuat naik kod QR SELangkah di premis perniagaan masingmasing. Pasukan SELangkah pula sentiasa bersedia untuk membantu mereka.

Bukan itu sahaja, SELangkah juga telah memanjangkan fungsi kod QR ini kepada pengguna yang berada di rumah supaya jejak kontak dapat dilaksanakan terutamanya pada musim perayaan.

MySejahtera pula merupakan pangkalan data yang dibangunkan oleh MKN dan pernah dilihat sebagai saingan kepada SELangkah.

Dalam usahanya untuk melaksanakan jejak kontak rapat, sistem MySejahtera tidak bergerak secara automatik sepenuhnya bahkan ia masih memerlukan penaikan taraf untuk menandingi SELangkah.

Sehingga hari ini, lokasi penyimpanan data MySejahtera masih tidak dapat dikenal pasti. Bukan itu sahaja, pihak yang mempunyai akses terhadap data MySejahtera juga masih menjadi satu misteri.

Perkara ini tidak boleh dipandang enteng. Terdapat dakwaan bahawa berlaku penyalahgunaan data dengan penggunaan aplikasi MySejahtera.

Selain itu, kita juga risau sekiranya data-data ini dijual kepada pihak ketiga dengan tujuan keuntungan.

Walaubagaimanapun, sehingga ke hari ini kerajaan Malaysia masih sambil lewa menangani isu kebocoran data ini. Memandangkan terdapat 2 aplikasi yang wujud – di mana salah satu dilihat sebagai lebih baik daripada lagi satu lagi, amat malang sekali apabila kedua-dua aplikasi ini tidak diintegrasi untuk melahirkan potensi sebenar, sebaliknya pada 3 Ogos 2020, Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob telah mengumumkan di kaca televisyen nasional bahawa setiap premis perniagaan wajib mempunyai kod QR MySejahtera.

Walaupun setelah beberapa lama diumumkan juga bahawa mana-mana aplikasi untuk jejak kontak rapat berasaskan QR boleh digunakan, nasi sudah menjadi bubur. Ramai pengguna yang pada awalnya telah selesa dengan SELangkah diarahkan untuk beralih ke MySejahtera.

Malang sekali apabila terdapat banyak pihak yang disaman oleh penguatkuasa kerana tidak menggunakan MySejahtera. Arahan MKN ini, yang jelas sengaja dirancang untuk meminggirkan SELangkah, telah menyusahkan orang ramai.

Dalam pada itu pengesanan aktif oleh SELangkah telah memudahkan STFC untuk memanfaatkan data yang ada bagi menyasarkan dan memberi amaran berkenaan lokasi-lokasi berbahaya supaya rakyat lebih bersedia untuk memerangi wabak ini bersama.

Dua minggu selepas pengumuman daripada menteri kanan, ramai yang terpaksa menggunakan aplikasi MySejahtera kerana takut disaman oleh penguatkuasa kalau melakukan sebaliknya.

Situasi ini menyebabkan usaha memerangi Covid-19 terbantut kerana STFC terpaksa bekerja keras untuk memulihkan epidemik di Selangor tanpa sebarang bantuan data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia ataupun Kerajaan Malaysia.

Kerajaan Selangor bergantung sepenuhnya pada data luas SELangkah. Walaupun terdapat aral yang melintang, Kerajaan Selangor kekal efisien bagi mengawal situasi di Selangor dengan baik semasa gelombang kedua.

Untuk rakaman sejarah, seperti yang ditunjukkan oleh graf yang disertakan ini, SELangkah secara aktif telah digunakan di Selangor pada minggu 3 Mei 2020 hingga pertengahan Ogos 2020. Kami berjaya mengekalkan kes positif (garis merah) pada paras yang rendah, bukan sifar (O) tetapi rendah.

Dengan perkongsian data, STFC berjaya mengenal pasti (Tracing) dan mencari (Finding) daerah-daerah yang berisiko tinggi (high risk districts) dengan segera melakukan TTIS (Test, Trace, Isolate & Support) semasa dalam tahap isolasi.

Namun, usia kejayaan SELangkah tidak panjang kerana pada 18 Ogos dan kemudian 2hb September, MySejahtera telah diwajibkan untuk digunakan oleh semua pihak, sekali gus menamatkan segala perkongsian data dengan Kerajaan Negeri Selangor. Amat malang!

Keengganan Kerajaan Malaysia untuk berkongsi data dengan Kerajaan Negeri Selangor menyebabkan kerja kami menjadi sukar, seperti teraba-raba di dalam bilik yang gelap atau bertinju dengan mata kami ditutup.

Kebergantungan Kerajaan Selangor kepada data yang sudah lapuk ini menyukarkan sebarang usaha untuk merangka strategi pengawalan wabak mengikut situasi semasa.

Laporan STFC adalah benar mengikut bekalan dan sumber data. Namun demikian, pendirian ini tidak boleh disamakan dengan situasi baru-baru ini di mana pasukan STFC telah menyiasat dan mengenal pasti punca utama di sebalik lonjakan mengejut kes di Selangor.

Kes-kes ini merupakan kes pada tahun 2020 dan juga Januari 2021 yang baru sahaja dilaporkan dan tidak mewakili nombor semasa sepertimana yang diakui oleh pengarah kesihatan sendiri.

Tunggakan ini adalah disebabkan kelemahan sistem jejak kontak rapat MySejahtera yang mengambil masa terlalu lama untuk mewajibkan pegawai kesihatan awam untuk melaksanakan jejak kontak sehingga mengakibatkan tunggakan kes yang berbulan-bulan lamanya.

Ramai professional kesihatan dan staf kesihatan awam yang mengakui lebih cenderung untuk menggunakan aplikasi SELangkah untuk membantu sistem pengawalan wabak yang sedia ada, tetapi mereka tidak mempunyai pilihan lain selain dengan daripada menggunakan data mentah sebagai rujukan kepada usaha jejak kontak.

Apa yang berlaku kepada data Selangor pada beberapa hari lepas ialah situasi tepat bagi menggambarkan pengalaman hitam STFC semasa 3 Ogos 2020.

Data-data yang diperoleh sudahpun bercampur aduk sehingga menyebabkan data-data ini tidak lagi berguna untuk mencegah penularan wabak.

Kami menyeru Kerajaan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga pengarah kesihatan untuk berlaku jujur dalam isu ini. Laporan mestilah dilaporkan dengan telus, bukan sahaja mengenai status tunggakan kes yang lepas dan semasa, bahkan rakyat juga berhak dimaklumkan berkenaan status semasa kes di Malaysia.

Kerajaan Malaysia boleh mengambil contoh pengumuman kes harian mengikut sistem laporan di UK yang mampu melaporkan situasi Covid-19 di setiap wilayah, majlis bandaraya dan daerah di UK dengan tepat. Hal ini hanya boleh direalisasikan dengan ukuran insiden kes pada setiap 100,000 bilangan populasi, BUKAN berasaskan bilangan yang mutlak atau kumulatif (absolute or cumulative numbers).

Dengan ukuran yang diguna pakai secara ‘benchmark’ dalam disiplin epidemiologi ini, anda akan dapati negeri Selangor didahului oleh WP Labuan, WP Kuala Lumpur dan Sabah.

Pun begitu ketika kedudukan ‘Ranking’ yang sama diperhatikan dalam ukuran kadar kematian per 100,000 penduduk. Selangor tetap di posisi ke-4.

Sementara kami amat insaf menangani cabaran melandaikan keluk epidemic di negeri Selangor, izinkan saya menegur supaya anda berpada-padalah untuk membuat kesimpulan atau kecaman terhadap prestasi di negeri Selangor.

STFC kini mempunyai sebuah entity untuk Operasi dan Implementasi yang dinamakan STFO atau Selangor Task Force Operation, yang terlibat langsung dalam pengopersian program dan kerja seperti Saringan Komuniti Bersasar.

STFO dibantu oleh badan-badan NGO dan buat masa ini IMARET memainkan peranan yang agak menonjol. STFC menggunakan sumber dan kepakaran serta pengalaman yang ada pada ahli-ahli lMARET dengan mereka tidak dibayar imbuhan yang sepatutnya, bahkan sebahagian kerja dilakukan secara pro bono atau sukarela.

Pun demikian, kami selaku Task Force Covid-19 di negeri Selangor, akan terus melipatkan-gandakan usaha-usaha kami untuk membendung perebakan Gelombang ke-3 ini di negeri Selangor khsususnya dan bersedia berkongsi pengalaman dan sedikit kepakaran yang ada pada STFC, untuk kepimpinan di negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia ini.

DS Dr Dzulkefly Ahmad,
Pengerusi STFC,
6hb Februari 2021.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan disaran guna kit ujian pantas antigen lebih meluas

SHAH ALAM, 30 JAN: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menyarankan saringan Covid-19 menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dilakukan dengan lebih meluas.

Pengerusinya berkata keputusan segera ujian berkenaan membolehkan tindakan awal dilakukan susulan kebimbangan virus semakin merebak dalam komuniti.

“Jika kita lakukan 1,000 saringan dan keputusannya adalah 200 kes positif atau pada kadar 20 peratus, ini bermaksud virus sedang merebak dalam komuniti.

“Perebakan wabak dianggap terkawal apabila hasil saringan mendapati hanya ada 50 kes positif atau lebih rendah,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi kenyataan hari ini.

Mantan menteri kesihatan berkata Malaysia pernah merekodkan kadar jangkitan pada tahap sembilan peratus tetapi kini turun kepada 5.8 peratus.

“Semua pihak perlu melakukan langkah pencegahan bagi memastikan kadar jangkitan di bawah paras lima peratus seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Semalam pegawai perubatan Institusi Penyelidikan Klinikal Negara (CRC) mencadangkan kerajaan menggunakan RTK-Ag mengganti ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR).

Arvinder Singh HS berkata rt-PCR mengambil masa lama untuk diproses meskipun kaedah itu mampu mengesan virus Covid-19 yang mati.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tambah segera petugas barisan hadapan, guna teknologi kesan kontak

SHAH ALAM, 30 JAN: Kerajaan Persekutuan perlu menyegerakan tambahan petugas barisan hadapan untuk meningkatkan keberkesanan usaha mencegah Covid-19.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata kecukupan petugas mempercepat proses ujian, kontak rapat, isolasi, kuarantin, rawatan dan pemantauan pesakit.

“Selangor sebagai negeri paling pesat dengan kepadatan penduduk, kegiatan industri, perniagaan dan tapak pembinaan pasti akan menanggung padah paling teruk.

“Seandainya semua proses ini lambat serta tergendala, maka kita gagal memutuskan rantaian wabak sekali gus menyebabkan kes terus melambung tinggi,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi kenyataan hari ini.

Bekas menteri kesihatan itu turut menggesa kerajaan mengguna sepenuhnya kemampuan teknologi terkini untuk mengesan kontak rapat kes positif.

“Hari ini kita lihat pengesanan kontak rapat amat lambat kerana kita menggunakan tenaga manusia bukannya aplikasi digital,” katanya.

Pada 18 Januari perdana menteri mengumumkan pertambahan lebih 3,500 petugas kesihatan dengan peruntukan RM150 juta.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penambahan kakitangan merangkumi penolong pegawai perubatan, paramedik, juruteknologi makmal dan jururawat.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Sabak Bernam rekod kes paling rendah di Selangor

SHAH ALAM, 7 JAN: Daerah Sabak Bernam mencatat kes harian Covid-19 paling rendah di Selangor selama tiga hari berturut-turut.

Menurut data Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) daerah tersebut mencatat dua kes baharu pada Selasa diikuti satu kes semalam serta 11 kes hari ini.

Daerah lain yang merekodkan kes dua angka ialah Hulu Selangor (20), Sepang (54) dan Kuala Selangor(81).

Agensi tersebut berkata Petaling pula merekodkan kes paling tinggi (421), Gombak (321), Hulu Langat (305), Kuala Langat (212) dan Klang (152).

Selain itu, STFC turut mengingatkan masyarakat terus patuh tatacara operasi piawai (SOP), amalkan penjarakan fizikal, pakai pelitup muka dan kerap basuh tangan.

Selangor merekodkan sebanyak 1,577 kes harian Covid-19, kedua tertinggi pernah direkodkan di negeri ini.

Angka tertinggi penularan wabak di Selangor adalah 1,623 kes yang dicatatkan pada 24 November tahun lepas.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiga daerah di Selangor catat lebih 100 kes Covid-19

SHAH ALAM, 7 JAN: Tiga daerah di Selangor merekodkan kes baharu Covid-19 melebihi 100, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Menurut agensi tersebut Petaling merekodkan kes paling tinggi dengan 193, Hulu Langat (181) dan Klang (101).

Bilangan kes baharu di Gombak pula adalah 93 kes, Kuala Langat (45), Kuala Selangor (37), Hulu Selangor (20) dan Sabak Bernam (1).

STFC berkata kes keseluruhan di Selangor adalah 37,347 kes dengan 6,961 daripadanya kes aktif.

Kes baharu Covid-19 di Selangor menurun kepada 706 kes hari ini berbanding 965 kes semalam.

Selain itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua kluster baharu iaitu kluster Damai Pelangi di Hulu Selangor dan kluster Tapak Bina Hartamas di Hulu Langat.

Malaysia mencatatkan 3,027 kes baharu Covid-19 hari ini, tertinggi sejak pandemik melanda negara.

Daripada jumlah itu, 3,021 kes membabitkan penularan tempatan dan enam jangkitan import.

Categories
AGENSI SELANGOR

STFC lancar inisiatif cegah, kurangkan kluster tempat kerja guna SELangkah

SHAH ALAM, 6 JAN: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melancarkan inisiatif Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Ahli STFC, Dr Yap Wei Aun berkata POIS dilengkapi beberapa komponen dan melibatkan platform Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) serta kerjasama antara majikan, pekerja dan pihak berkuasa.

Jelasnya, melalui komponen Langkah-Langkah Kesihatan Awam Dipertingkatkan, majikan yang mendaftar perlu menubuhkan jawatankuasa yang terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza.

“Jawatankuasa ini perlu mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi, merangka pelan tindakan kecemasan, mengurangkan kontak luar dan memastikan semua tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

“Dalam komponen Rejim Ujian Pengesanan Awal pula, jawatankuasa perlu merancang pelaksanaan ujian saringan tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) atau kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) untuk pekerja dan bertindak pantas sekiranya kes positif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pakar sistem kesihatan itu berkata aplikasi SELangkah berperanan merekodkan pergerakan keluar masuk pekerja selain memantau komponen POIS dan menganalisis risiko pekerja bagi melaraskan kekerapan ujian saringan.

“SELangkah bertindak sebagai sistem amaran awal yang mengesan kemunculan kluster bagi mengelakkan ia merebak ke kawasan kejiranan.

“Analisis risiko pula akan membolehkan pandangan diberikan kepada pihak berkuasa dan majikan mengenai cara meneruskan operasi perniagaan dengan gangguan yang minima,” katanya sambil memaklumkan kod imbasan SELangkah akan dipamer di setiap pintu keluar termasuk asrama, ruang kerja dan kawasan umum membabitkan syarikat terbabit.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Selangor catat 200 kes baharu, 97 di Klang

SHAH ALAM, 14 NOV: Kes baharu Covid-19 di Selangor hari ini menurun kepada 200 berbanding 364 semalam, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini ialah 7,439.

“Punca kes baru pada hari ini ialah 135 daripada kluster sedia ada, 28 hasil saringan kontak rapat kes positif Covid-19, 36 kes daripada lain-lain saringan dan satu kes import.

“Amalkan dan sentiasa berpesan kepada orang ramai tentang penjarakan fizikal, pakai pelitup muka dan basuh tangan secara kerap,” katanya di Facebook hari ini.

Sementara itu, Bilik Gerakan Negeri Selangor memaklumkan Klang mencatatkan jumlah kes harian tertinggi dengan 97 kes diikuti Hulu Langat (52) dan Petaling (25).

“Sepang mencatatkan 14 kes baharu, Gombak (7), Hulu Langat (2) manakala Hulu Selangor, Kuala Selangor dan kes import yang mendapat jangkitan dari luar masing-masing 1 kes.

“Kes baharu mengikut mukim pula mendapati, mukim Kapar catat kes tertinggi iaitu 52 kes,  mukim Klang (44), mukim Kajang (43),” katanya.

Secara keseluruhan, Malaysia mencatatkan 1,114 kes baharu Covid-19, 803 pesakit pulih dan dua kematian hari ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Selangor rekod 150 kes, dua kluster baharu dikesan

SHAH ALAM, 30 OKT: Selangor merekodkan 150 kes Covid-19 hari ini dengan kesemuanya membabitkan penularan tempatan menjadikan keseluruhan 4,645.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan daripada jumlah itu 76 kes dikesan menerusi kluster baharu iaitu kluster Merpati dan kluster Astaka.

“Sebanyak 40 kes daripada kluster-kluster sedia, 22 saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan 12 lagi melalui lain-lain saringan,” menurut STFC di Facebook.

Data Bilik Gerakan Negeri Selangor pula menunjukkan Petaling mencatat kes aktif tertinggi iaitu 383 diikuti Hulu Langat (243), Sepang (234), Klang (119), Gombak (100), Kuala Langat (91), Kuala Selangor (16), Hulu Selangor (tujuh) dan Sabak Bernam (dua).

Enam zon di negeri ini masih berstatus merah meliputi Petaling, Hulu Langat, Klang, Gombak, Sepang dan Kuala Langat manakala Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berada dalam zon kuning.

Setakat 12 tengah hari tadi, seramai 57 pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah keseluruhan sembuh sebanyak 3,421 manakala angka korban kekal 26 orang.

Hari ini, sebanyak 799 kes Covid-19 dilaporkan dalam negara dan tiga kematian.