Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan kes pertama kluster Bukit Tiram berlaku luar Johor

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kes membabitkan kluster Bukit Tiram berlaku di luar negeri Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes pertama itu direkodkan di Selangor membabitkan warga asing.

“Kes ke-8977 ini merupakan kontak rapat kes ke-8893 dari Johor yang datang menginap di rumahnya pada 16 hingga 19 Julai lalu.

“Beliau telah dikenal pasti dan diarah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah. Bagaimanapun beliau disahkan positif pada saringan kedua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham setakat 12 tengah hari tadi 135 individu disaring. 10 darinya positif, 124 negatif manakala satu lagi menunggu keputusan.

“Daripada 10 positif itu empat adalah warga asing. Kontak rapat kluster ini turut dikesan di Terengganu, Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya namun negatif,” katanya.