Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Kerajaan Negeri sokong sistem e-Perjanjian LZS

SHAH ALAM, 11 OGOS: Kerajaan Negeri menyokong reformasi digital Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang memperkenalkan sistem e-Perjanjian.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif digitalisasi dibangunkan bertujuan menambah baik proses operasi LZS dan selari agenda Selangor ke arah mencapai status Negeri Pintar Serantau pada 2025.

“Pendigitalan dan penyeteman dokumen perjanjian serta tandatangan secara digital pasti meningkatkan produktiviti serta keberkesanan penyampaian kepada pelanggan.

“Inovasi ini juga merupakan mesra norma baharu bagi kumpulan asnaf serta pengeluar zakat dalam persekitaran pasca pandemik Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.

Beliau berkata proses kemajuan berterusan akan menyokong ekosistem Smart Selangor dalam mengecapi Revolusi Industri 4.0 yang menuntut komitmen idea dan pelaksanaan.

Menerusi reformasi dokumentasi perjanjian, tempoh pemprosesan akan diselesaikan dalam tiga hari bekerja sekali gus menjimatkan masa serta memudahkan kerja.

Perubahan ini menjadikan LZS sebagai institusi zakat pertama di Malaysia mengggunakan sistem digital dokumentasi perjanjian dibangunkan dengan kerjasama dari syarikat Zanko Sdn Bhd dan Raffcomm Group.