Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Orang ramai sokong larangan merokok, minum arak di taman awam

SHAH ALAM, 16 OGOS: Orang awam menyokong tindakan Kerajaan Negeri menguatkuasakan perintah larangan menghisap rokok, rokok elektronik dan meminum arak di taman awam dan rekreasi di Selangor.

Wan Zulrushdi Wan Mohamed, 55, berkata arahan tersebut bersesuaian dengan kehendak semasa dan sebagai individu tidak merokok beliau memuji inisitif itu serta kompaun RM1,000 kepada individu yang ingkar.

“Taman awam adalah kawasan tumpuan ramai dan tindakan Kerajaan Negeri ini boleh menghasilkan udara bersih sekali gus mengurangkan pencemaran,” katanya kepada SelangorKini.

Manakala Zamir Zaini, 30, berkata larangan itu perlu berkuat kuasa sejak dahulu lagi dan wajar dicontohi negeri lain.

“Ia sangat wajar dilaksanakan kerana asap rokok bukan sahaja memudaratkan kesihatan si pelaku tetapi pihak lain terutama ibu bapa yang sering membawa anak-anak beriadah,” katanya.

Syazwani Suhaimay, 29, pula berpendapat larangan meminum arak wajar dilaksanakan bagi mengurangkan kes kemalangan akibat kecuaian pemandu mabuk.

“Larangan ini wajar dikuatkuasakan demi mengurangkan risiko tersebut dan lambakan botol minuman keras di taman awam,” katanya.

Pada 14 Julai lalu, Selangor muncul negeri pertama di Malaysia menguatkuasakan perintah tersebut dan jika ada individu ingkar mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor.