Categories
AGENSI SELANGOR

PAKATAN Selangor terus laksana agenda penuhi mandat rakyat

KUANG, 23 OGOS: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor terus melaksana agenda dirancang demi memenuhi mandat rakyat dalam pilihan raya dua tahun lalu.

Pengerusinya Dato’ Seri Amirudin Shari berkata gabungan itu juga kekal utuh dan stabil termasuk sokongan beberapa wakil rakyat bebas.

“Saya ingin menyatakan terima kasih kepada Yang Berhormat Kuang (Sallehudin Amiruddin) kerana meneruskan sokongan padu kepada PAKATAN untuk meneruskan agenda sesuai dengan mandat pada 2018,” katanya ditemui di Kampung Orang Asli Ulu Kuang hari ini.

Pada 14 Ogos lalu, Sallehudin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan keluar parti disusuli wakil rakyat Batang Kali Harumaini Omar sehari kemudian.

Ahli Dewan Negeri Jeram Mohd Shaid Rosli yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor lebih awal meninggalkan parti pada 8 Ogos. Kesemuanya kekal menyokong pentadbiran Dato’ Menteri Besar.

Sementara itu, Sallehudin berkata keputusan kekal bersama PAKATAN dibuat sejak Mac lalu.

“Kita dapat mandat rakyat. Rakyat memberi kemenangan kepada calon PAKATAN maka saya kekal walaupun sekarang bebas,” katanya.