Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

RiDE: MB galak belia daftar, jana pendapatan

SHAH ALAM, 14 OGOS: Dato’ Menteri Besar mengajak anak muda mendaftar inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) untuk mendapat subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan peserta yang berjaya boleh mengikuti kursus e-panggilan bernilai RM200 selain menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

“Program bagi anak muda bawah 30 tahun ini menyasarkan hampir 3,000 peserta dengan kriteria kelayakan asas dan dijangka menggalakkan mereka berdikari menjana pendapatan dalam sektor ekonomi sampingan yang semakin berkembang,” tulisnya di Twitter.

Beliau berkata pendaftaran yang dibuka bermula 1 Ogos lalu boleh dibuat melalui pautan http://msnselangor.gov.my

Belanjawan 2020 memperuntukkan dana awal RM1 juta bagi pelaksanaan RiDE dan ditambah RM1 juta lagi melalui Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor 2020 pada 13 Julai lalu.

Setakat ini, sebanyak 10,000 permohonan diterima.