Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tidak pinggir Orang Asli, biasiswa bantu dapat didikan terbaik

KUANG, 23 OGOS: Biasiswa Sagong Tasi menerima peruntukan tahunan RM1 juta sejak 2014, bagi membantu masyarakat Orang Asli melanjut pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT).

Dato’ Menteri Besar berkata biasiswa tersebut turut diperluas kepada pelajar sekolah menengah bagi memastikan golongan minoriti tidak dipinggir dan menerima hak sama rata.

“Kita mahu beri pendidikan sempurna kerana percaya ia boleh membantu mereka maju dan menceburi bidang profesional sekali gus membawa komuniti ke tahap lebih baik,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Sarapan Merdeka di Kampung Orang Asli Ulu Kuang hari ini.

Biasiswa Sagong Tasi dikhususkan untuk masyarakat Orang Asli negeri ini melanjutkan pengajian di IPT terpilih dengan memenuhi beberapa kriteria.

Pusat pengajian merangkumi Universiti Teknologi Mara, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Selangor, Kolej Universiti Islam Selangor dan Kolej Antarabangsa Inpens.

Sementara itu, Amirudin berkata bantuan tidak terhad kepada aspek infrastruktur dan kebajikan sahaja malah merangkumi budaya setempat.

“Kita tunjukkan kehidupan mereka hingga peringkat antarabangsa supaya tidak dipandang rendah. Walaupun ada kemajuan, kita tetap pertahankan budaya Orang Asli sesuai dengan perlembagaan dan warganegara,” katanya lagi.

Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan RM100,000 bagi membaik pulih 10 rumah penduduk dan tambahan RM10,000 untuk keperluan insfrastruktur kampung.

Selangor memiliki 74 perkampungan Orang Asli membabitkan 5,941 keluarga dari suku Temuan, Mahmeri dan lain-lain.