Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN yakin pertahan kerusi Parlimen Gombak

GOMBAK, 17 SEPT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bersiap sedia bagi mempertahankan kerusi Parlimen Gombak yang dimenangi mereka sejak 2008 dalam pilihan raya akan datang.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor berkata keyakinan itu ekoran rakyat sebelum ini memilih berdasarkan perjuangan reformasi yang dibawa parti, bukan atas faktor individu mahupun sekadar ikut-ikutan.

“Kita sedia pertahankan Parlimen Gombak atas nama KEADILAN. Sekarang hanya tinggal masa untuk pilihan raya sahaja, bukannya kita tidak sabar tetapi hendak menyatakan bahawa memang KEADILAN sudah bersiap sedia untuk menghadapinya.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plat Perasmian Bilik Gerakan Parti Keadilan Rakyat DUN Hulu Kelang di Ampang pada 16 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“KEADILAN pernah mengecapi detik-detik manis kerana kepercayaan dan kekuatan melaksanakan perjuangan reformasi untuk membuang elemen merosakkan seperti politik kebencian, akhirnya kita terima kejayaaan pada 2018,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika merasmikan Bilik Gerakan KEADILAN Hulu Kelang di sini semalam.

Kerusi berkenaan sebelum ini dimenangi Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali atas tiket KEADILAN. Namun, bekas timbalan presiden parti itu kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia, salah satu parti gabungan Perikatan Nasional.