Categories
EXCO SELANGOR

Lebih 20,000 peniaga kecil terima insentif RM500

SHAH ALAM, 5 SEPT: Seramai 22,884 peniaga dan penjaja kecil berlesen menerima insentif RM500 di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19.

EXCO pembangunan usahawan berkata Kerajaan Negeri turut melaksanakan kursus usahawan secara maya dan bersemuka bagi memulihkan kembali perniagaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Menjadi hasrat Kerajaan Selangor membantu meringankan beban peniaga dan penjaja kecil selain memastikan mereka bangkit selepas melalui tempoh sukar akibat penularan Covid-19.

“Kita bantu usahawan menstruktur semula hutang, memberi khidmat nasihat serta mendapatkan dana atau modal untuk berniaga sekali gus meningkatkan taraf ekonomi masing-masing,” kata Rodziah Ismail ketika dihubungi.

Pada 20 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan RM40 juta untuk melaksanakan insentif khas kepada peniaga dan penjaja berlesen yang terkesan susulan PKP.

Setakat ini, lebih RM10 juta dibelanjakan bagi melaksanakan manfaat tersebut.