Categories
SELANGOR

Muzium Galeri Bola Sepak Selangor simpan koleksi Sultan Sharafuddin

SHAH ALAM, 17 SEPT: Muzium Galeri Bola Sepak Selangor menyimpan pelbagai koleksi berkaitan bola sepak yang dikumpul DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sejak menjadi Raja Muda Selangor.

Terletak di pekarangan Istana Alam Shah, Klang, muzium hasil cetusan idea Baginda mula menempatkan koleksi kelengkapan jersi, piala dan cenderahati serta bola-bola yang pernah digunakan dalam perlawanan penting dalam sejarah sejak 2012.

“Antara koleksi yang paling berharga bagi Sultan Sharafuddin di simpan di sini ialah jersi yang dipakai oleh lagenda Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari ketika pasukan Selangor menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1986,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj membeli Kasut Emas milik bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus.

Turut dipamerkan adalah keratan akhbar berkaitan kejayaan pasukan bola sepak Selangor yang disimpan sendiri oleh Sultan Sharafuddin.

Terbaharu, Baginda berkenan membeli Kasut Emas milik bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus dan menempatkannya di muzium berkenaan.

Muzium Galeri Bola Sepak Selangor ini hanya boleh dilawati secara berkumpulan dengan permohonan perlu dibuat kepada Dato’ Pengelola Bijaya Diraja di Pejabat DYMM Sultan Selangor.

Ketika ini, muzium ini masih ditutup kepada pelawat sehingga akhir tahun depan disebabkan pandemik Covid-19.