Categories
AGENSI SELANGOR

Pembersihan pantai bersama Tengku Zatashah kutip lebih 200kg sampah, pelitup muka

SHAH ALAM, 14 SEPT: Sebanyak 222.22kilogram (kg) sampah serta pelitup muka berjaya dikutip dalam program Pembersihan Pantai Bersama Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah di Pantai Morib Baharu, Kuala Langat semalam.

Anakanda Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagaimanapun bertitah jumlah dicatat itu lebih rendah berbanding tahun sebelumnya dan antara bahan buangan dikutip termasuk plastik dan bekas makanan.

“Saya mengutip 20 pelitup muka tidak termasuk apa ditemui kumpulan lain kerana kami berpecah untuk memastikan semua kawasan dibersihkan.

“Masyarakat perlu melupuskan bahan berkaitan dan sarung tangan sebaik mungkin atau lebih baik memakai pelitup muka guna semula seperti saya pakai,” titah Tengku Zatashah menerusi Facebooknya.

Program pembersihan pantai bertemakan #bebasplastik kali keempat sejak 2017 ini diilhamkan sendiri baginda.

Dalam program sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata inisiatif ini memberikan impak yang baik terhadap pemeliharaan alam sekitar selaras hasrat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) antarabangsa.

“Melalui aktiviti ini juga, patik amat berharap ia mendatangkan kesan positif sebagai usaha kita membendung permasalahan semasa berkaitan dengan perubahan suhu, masalah pencemaran di lautan dan daratan, kesan daripada aktiviti salah guna serta penerokaan alam semulajadi dan sumber asli yang tidak bertanggungjawab,” katanya.