Categories
AGENDA NASIONAL

Peminat sukan diingatkan patuh SOP Covid-19

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Peminat sukan di negara ini diingatkan agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pihak berkuasa bagi mengekang penularan Covid-19, termasuk larangan menghadiri acara-acara sukan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pematuhan SOP itu terpakai bagi semua acara sukan sama ada liga profesional, perlawanan persahabatan atau untuk bersosial.

Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pihak yang ingin menganjurkan acara sukan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) agar mendapatkan kebenaran daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

“Penganjur juga boleh merujuk kepada Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan negeri serta persatuan-persatuan sukan berkaitan untuk nasihat dan garis panduan berhubung SOP serta kesesuaian penganjuran acara sukan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PKPP yang bermula 10 Jun hingga 31 Ogos lepas dilanjutkan hingga 31 Dis tahun ini bagi mengawal jangkitan Covid-19 di negara ini.

Terdahulu hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata kes baharu Covid-19 di negara ini melonjak ke tiga angka hari ini dengan 100 kes berbanding 62 jangkitan semalam.

– BERNAMA