Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor lulus projek pelaburan baharu, nilai RM1.46 bilion

SHAH ALAM, 2 SEPT: Selangor meluluskan 61 projek dalam sektor pembuatan dengan nilai pelaburan RM1.46 bilion sejak Januari hingga Mac lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kelulusan projek berkaitan berupaya mengembangkan lagi peluang pekerjaan di negeri ini dalam sektor tersebut melalui pelaburan tempatan dan asing.

“Peluang pekerjaan yang dijana hasil daripada pelaburan asing dan tempatan pasti akan memberi manfaat terhadap rakyat Malaysia secara amnya dan Selangor khususnya.

“Invest Selangor menjadikan negeri ini magnet pelaburan supaya peluang yang terlahir ini dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi menjamin masa depan semua,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Beliau berkata penempatan syarikat gergasi di Selangor seperti Hartalega, IKEA, Perodua Global Manufacturing, Proton dan Top Glove menawarkan pelbagai peluang kerjasama serta potensi perniagaan.

“Strategi ini membuahkan hasil lumayan untuk negeri Selangor merancang kemajuan,” katanya.