Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Kempen media sosial beri dampak besar kepada Israel

SHAH ALAM, 27 MEI: Kempen ‘Israel Koyak’ yang digerakkan rakyat Malaysia dianggap berjaya memberi dampak besar sehingga menjejas emosi pengganas Zionis.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kempen menerusi media sosial dengan perkataan ‘koyak’ itu juga salah satu faktor Israel menjadikan Malaysia sebagai sasaran serangan.

“Respon dari Israel agak luar biasa hingga mereka isytiharkan beberapa negara termasuk di Malaysia sebagai salah satu daripada sasaran.

“Ini tidak sepatutnya menghentikan kita dan kita akan mencipta dan merangka strategi yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Forum Peduli Palestin yang diadakan bersiaran secara langsung di Facebook Insititut Darul Ehsan (IDE) malam tadi.

Turut sama, EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Zawawi Ahmad Mughni, Timbalan Pengerusi IDE, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Al-Quds Foundation Malaysia, Dr Sharif Amin Abu Shammala.

Amirudin berharap Duta Malaysia ke Timur Tengah (Dato’ Seri Abdul Hadi Awang) dapat membantu membawa keamanan kepada Palestin.

“Saya percaya kini Malaysia sudah ada Duta Timur Tengah, justeru mesti ada sumbangan lain dan tidak hanya pekikan atau ‘troll’ di media sosial sebaliknya wujud sumbangan yang lebih bersesuaian,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan abai SOP, hargai kebenaran operasi bazar Ramadan, raya

HULU KELANG, 11 APRIL: Kebenaran operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri perlu dihargai sebaiknya tanpa mengabaikan aspek pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peniaga dan pelanggan tidak seharusnya alpa di sebalik kelonggaran diberi berikutan kes Covid-19 dalam negara masih mencatat empat angka.

“Hasil pemerhatian, orang ramai sudah mula lupa terhadap SOP sedangkan kes masih tinggi. Sebenarnya kes direkodkan ketika ini jauh lebih tinggi berbanding PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) fasa pertama.

“Apa yang penting sekarang adalah (pematuhan) SOP memandangkan ia faktor utama kepada jangkitan atau tidak berjangkit wabak tersebut. Memang kita sudah ada vaksin namun untuk mencapai imuniti berkelompok, ia mengambil masa enam hingga tujuh bulan atau mungkin sehingga tahun depan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan perpustakaan mini Kelab Kebun Rumah Pangsa AU2 di sini hari ini.

Amirudin mengingatkan peniaga bazar berkenaan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap pelanggan dengan mengenakan harga melampau meskipun perlu bersaing dalam meraih pendapatan dan keuntungan.

“Kita faham sekarang persaingan sangat sengit dan ramai yang agak terdesak untuk mencari kehidupan, jadi kita harap mereka (peniaga) boleh bagi harga sesuai serta berpatutan tetapi bukan bermakna mereka kena rugi,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan pihak berkuasa tempatan seluruh negeri diarah memantau pematuhan SOP di bazar terbabit bagi mengelak wujud ‘kluster bazar’.

Mac lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri seluruh negara tahun ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dan mendapat pandangan Kementerian Kesihatan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bantuan RM10,000 naik taraf perpustakaan mini rumah pangsa AU2

HULU KELANG, 11 APRIL: Kerajaan Selangor menyumbang RM10,000 kepada Kelab Kebun Rumah Pangsa AU2 bagi meningkatkan keluasan dan menambah bahan bacaan di perpustakaan mini di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata fasiliti di perpustakaan berkeluasan 644 kaki persegi itu masih belum cukup untuk menampung jumlah penduduk yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Kita lihat perpustakaan ini sangat asas, sebab itu kita (Kerajaan Negeri) sumbang sedikit dana supaya pengurusan kelab kebun berkenaan boleh tambah keluasannya.

“Saya sangat teruja dan bangga dengan usaha dijalankan komuniti di sini kerana mereka bukan sahaja mewujudkan kebun komuniti yang mempunyai pelbagai tanaman tetapi membina perpustakaan ke arah melahirkan masyarakat berilmu,” katanya selepas merasmikan perpustakaan itu hari ini.

ADN Hulu Kelang, Saari Sungib (kiri) menyerahkan cek kepada Pengerusi Kelab Kebun Rumah Pangsa AU2, Mohamad Halim Mohamad Said (dua kanan) sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) sempena majlis perasmian Perpustakaan Mini di Kebun Rumah Pangsa AU2, Hulu Kelang pada 11 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim dan Pengerusi Kelab Kebun Rumah Pangsa AU2 Mohamad Halim Mohamad Said.

Sementara itu, Mohamad Halim berkata pihaknya menerima 1,000 buku bahasa Inggeris sumbangan Big Bad Wolf dan Book Xcess termasuk 300 bahan bacaan lain daripada badan bukan kerajaan (NGO) serta individu setakat ini.

Beliau juga berhasrat menjadikan perpustakaan itu sebagai tempat bacaan surah Al-Kahfi setiap jumaat dan tahlil sebulan sekali selain pusat tuisyen secara percuma untuk mata pelajaran Matematik serta Bahasa Inggeris.

“Saya percaya, setiap kali perpustakaan ini dimanfaatkan, mengalirlah saham kepada penyumbang,” katanya.

Perpustakaan mini tersebut dibina pada 23 November dan siap sepenuhnya pertengahan Disember tahun lalu hasil kerjasama 25 pelajar serta lapan pensyarah Universiti UCSI termasuk ahli kelab kebun berkenaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor sasar 60,000 rumah mampu milik menjelang 2030

HULU SELANGOR, 10 APRIL: Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik kepada pemaju diyakini merancakkan semula sektor hartanah pasca Covid-19 di Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata projek Rumah SelangorKu Harapan membolehkan pemaju meminda syarat Rumah Selangorku jenis A, B, C atau D kepada satu jenis sahaja.

“Rumah Selangorku Harapan berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi dijual tidak melebihi RM250,000 seunit dengan kelengkapan asas.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama penerima kunci rumah selepas merasmikan majlis penyerahan kunci Rumah Selangorku di Taman Bukit Raya, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 10 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kelonggaran diberikan kepada pemaju bakal merealisasikan hasrat membina 60,000 unit rumah mampu milik sebelum 2030,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan kunci kepada pembeli fasa pertama Rumah SelangorKu berharga RM250,000 seunit di Taman Bunga Raya, hari ini.

Sebanyak 419 unit rumah dibina atas kawasan seluas 26.8 ekar dengan 109 unit fasa pertama siap.

Dasar Rumah Selangorku menumpu penambahbaikan aspek pemilikan, perancangan dan pelaksanaan supaya memberi manfaat kepada pemaju, pelaksana dasar dan pemilik rumah.

Rumah Selangorku dijual pada harga antara RM42,000 sehingga RM250,000 dengan variasi lima jenis rumah iaitu A, B, C, D dan E berkeluasan antara 700 sehingga 1,000 kaki persegi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor semak pelan pembangunan 10 tahun ke hadapan

SHAH ALAM, 7 APRIL: Kerajaan Negeri bercadang menyemak pelan pembangunan 10 tahun ke hadapan untuk mengimbangi keadaan semasa.

Dato’ Menteri Besar berkata polisi tertentu perlu ditambah baik susulan perebakan Covid-19 termasuk merancang pelan jangka sederhana.

“Sebelum ini kita melakar pelan perancangan kemajuan dan pembangunan sehingga 2030 tetapi ia memerlukan sedikit perubahan.

“Kita komited memastikan pembangunan di negeri ini berjalan dengan lancar,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 kepada 125 penjawat awam Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz hari ini.

Pada 29 Mac, Amirudin membayangkan untuk menyemak semula Belanjawan Selangor 2021 selepas Aidilfitri susulan perebakan Covid-19 belum berakhir.

Beliau berkata perbelanjaan baharu perlu dirangka dengan menangguhkan projek tertentu bagi membolehkan lebih banyak bantuan disalur kepada rakyat berpendapatan rendah serta peniaga kecil.

 

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor fokus saringan kawasan kilang, elak kluster baharu

SHAH ALAM, 30 JAN: Selangor melaksanakan program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di kilang yang berisiko tinggi berlaku perebakan wabak.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif itu melibatkan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Selgate Corporation Sdn Bhd, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

“Kerajaan Negeri turut mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan menutup kilang yang menyembunyi kes positif pekerja serta tidak bekerjasama untuk pengesanan kontak rapat.

“Tindakan tegas ini penting bagi memutuskan rantaian serta mengelak tercetus kluster baharu di tempat kerja,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan hari ini.

Pada 6 Januari Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melancarkan program POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan yang mendaftar POIS perlu menubuhkan jawatankuasa yang terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza.

Jawatankuasa berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi, merangka pelan tindakan kecemasan, mengurangkan kontak luar dan memastikan semua tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

Selain itu platform Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) akan merekodkan pergerakan keluar masuk pekerja selain memantau komponen POIS dan menganalisis risiko pekerja bagi melaraskan kekerapan ujian saringan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Penduduk padat faktor kes harian Covid-19 tinggi

SHAH ALAM, 27 JAN: Kes positif Covid-19 harian yang tinggi di Selangor sejak kebelakangan ini disebabkan beberapa faktor antaranya kepadatan penduduk terutamanya di kawasan bandar, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Amirudin berkata jumlah kes positif Covid-19 harian yang tinggi itu pastinya menjadikan rakyat Selangor agak gusar serta sangat bimbang apabila ia mencecah sehingga empat angka dan masih belum turun ke dua angka sejak sebulan lepas.

Disebabkan itu katanya, seluruh penduduk di Selangor harus kekal berdisiplin dalam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) iaitu dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta kerap mencuci tangan menggunakan sabun atau cecair pensanitasi.

“Apa yang dilakukan Kerajaan Negeri adalah memperbanyakkan saringan terhadap masyarakat serta komuniti. Lebih 19,000 ujian telah dilaksanakan sejak jangkitan Covid-19 bermula (di Malaysia) dan kos ditanggung sepenuhnya oleh pentadbiran ini.

“Kami sasarkan 50,000 lagi ujian saringan akan dijalankan untuk membantu (Kementerian Kesihatan) mengenal pasti kes positif di Selangor,” katanya menerusi satu video dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Jelas beliau, menerusi saringan itu juga, Kerajaan Negeri berupaya membantu mengasingkan individu positif Covid-19 daripada menjangkiti orang lain selain menggalakkan mereka menjalani kuarantin kendiri.

Amirudin berkata keadaan semasa jangkitan Covid-19 di Selangor adalah masih terkawal dan kerajaan negeri bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di sembilan daerah di negeri ini untuk memberi maklum balas serta nasihat kepada individu positif.

“Menerusi anak syarikat kerajaan negeri iaitu Selgate Corporation dan SelCare, kami akan menambah perkhidmatan di CAC untuk memberi maklum balas lain kepada masyarakat supaya mereka tahu ia (penularan Covid-19) masih boleh dikawal menerusi aktiviti harian sendiri khususnya melalui program kuarantin kendiri,” katanya.

Justeru katanya, dengan usaha dan ikhtiar dilakukan kerajaan negeri termasuk penyediaan bantuan untuk rakyat menerusi ‘Pakej Kita Selangor’, ia diharap akan mampu meringankan tugas semua pihak termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

 

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB jamin kemajuan Sabak Bernam, seiring daerah lain

SABAK BERNAM, 12 JAN: Dato’ Menteri Besar memberi jaminan pembangunan di Sabak Bernam akan seiring dengan daerah lain demi keperluan penduduknya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata industri agro pelancongan antara dilihat sesuai dimajukan berikutan nilai aset alam yang berkualiti tinggi selain konteks pertanian meluas.

“Sebahagian memang tarik perhatian cuma kurang dari aspek pengkomersialan. Jadi jawatankuasa khas yang ditubuhkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri perlu rancang dengan teliti.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mencuba mengendali jentera potong padi ketika lawatan ke sawah padi di Jalan Parit 1, Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam pada 11 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ditambah dengan projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang akan siap. Perancangan terbaik perlu dibuat daripada sekarang supaya tidak terlambat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Dataran Patriotik Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam.

Acara perasmian itu termasuk dalam agenda lawatan kerja Amirudin di Sabak Bernam.

Terdahulu, Amirudin merasmikan Bazaar Dorani Perdana yang menempatkan penjaja barangan basah serta makanan serta melakukan lawatan ke Perpustakaan Awam Daerah Sabak Bernam.

Sepanjang lawatan kerja setengah hari itu, Amirudin juga berkesempatan melawat sawah padi di Parit 1 Setengah, Sungai Haji Dorani serta ladang ayam di Parit Sembilan Gambut, Sungai Panjang.

Beliau juga turut melawat tapak Projek Smart Selangor Pekan Bagan Terap yang akan menempatkan peniaga secara berpusat sebelum menikmati makan tengah hari di Restoran Lembah Bernam, Sekinchan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor fokus tanam pokok dalam bandar – MB

SHAH ALAM,  6 JAN: Kerajaan Negeri menumpukan usaha menanam pokok dalam bandar bagi merealisasikan matlamat Selangor rendah karbon menjelang 2030.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif mewujudkan lebih banyak kawasan hijau memerlukan kerjasama semua pihak apatah lagi untuk mengharungi perubahan iklim dunia.

“Selain menumpukan usaha menanam pokok bakau sebagai penampan ombak dan memulihara habitat asal, kita perlu lihat kepentingan tanam pokok dalam bandar bagi mewujudkan alam sekitar bersih dan selamat.

“Justeru, menjadi agenda penting untuk memastikan pembangunan di Selangor seimbang dengan kelestarian alam sekitar, tiada gunanya berstatus negeri maju tetapi memudaratkan kehidupan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita selepas menanam pokok di pekarangan Tugu Peringatan Selangor sempena Program Menanam 100 Juta Pokok 2021-2025.

Kempen bertemakan ‘Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’ menyasarkan 20 juta pokok pada tahun pertama pelaksanaan di seluruh negara.

Pada 10 Januari 2020 Amirudin berkata Selangor memperuntuk RM500,000 untuk menjayakan Program Tanam Pokok Dalam Bandar.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Empat LRA kembali operasi, air tercemar diatasi

SHAH ALAM, 8 DIS: Empat loji rawatan air (LRA) yang dihentikan tugas berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor kembali beroperasi awal pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tahap pencemaran LRA Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2, 3 mencapai 0 TON (nombor bau nilai ambang).

“Saya dimaklumkan bahawa bacaan 0 TON dicapai setelah usaha mengatasi pencemaran dibuat oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor),” katanya menerusi Facebook.

Sementara itu, Air Selangor dalam kenyataan berasingan memaklumkan LRA Rantau Panjang beroperasi semula pada 3.30 pagi manakala LRA SSP 1,2 dan 3 jam 5 pagi selepas bacaan 0 TON direkodkan tiga kali berturut-turut.

Terdahulu, LRA Rantau Panjang dihenti tugas jam 11.30 malam tadi dan SSP 1,2,3 pada 1 pagi.

 

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor guna teknologi nano atasi pencemaran sumber air

SHAH ALAM, 7 DIS: Teknologi nano bakal diguna untuk membersih dan menjernih sumber air di Selangor secara semula jadi ketika berlaku pencemaran.

Dato’ Menteri Besar berkata kaedah tersebut berupaya meningkatkan oksigen terlarut, menghilangkan bau, menghapus minyak dan gris dan mengurangkan logam berat.

“Rawatan air ini juga mengurangkan jumlah pepejal terampai dan terlarut serta memperbaharui kehidupan akuatik.

“Pendekatan biologi yang mengaplikasikan teknologi nano telah diuji dan dianalisis makmal Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mendapatkan keputusan akhir,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari yang berkongsi infografik berhubung strategi pertama Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) menerusi Facebook hari ini.

Pada 2 Disember, Amirudin berkata SJAM dilaksanakan sebagai langkah jangka pendek sekiranya berlaku pencemaran sumber air.

Beliau berkata insiatif tersebut menggariskan empat langkah iaitu rawatan awal di kolam rawatan, pemantauan dan pengawasan, pembinaan infrastruktur pengepaman terus dari kolam takungan Sungai Selangor serta penguatkuasaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Pindaan 2020.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Geran peralatan Sitham bantu 175 usahawan kembang niaga

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan Negeri meluluskan 175 permohonan geran peralatan program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) fasa pertama tahun ini membabitkan peruntukan RM557,991.66.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian peralatan dengan nilai maksimum RM10,000 bagi setiap permohonan yang layak membantu usahawan memajukan perniagaan mereka.

“Geran peralatan merupakan aspek utama program Sitham kepada usahawan India yang berniaga lebih enam bulan. Sitham menjalankan siasatan dengan ketua komuniti kaum India bagi memilih usahawan benar-benar layak menerima manfaat ini.

“Kita sebenarnya menyaring lebih 2,000 pemohon sejak permohonan dibuka dan mempergiat promosi di peringkat bawahan namun kita melihat kepada keutamaan serta potensi perniagaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Sitham Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) di Bangunan SUK hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata seramai tujuh usahawan dikenal pasti berpotensi untuk diangkat sebagai ikon melalui program dana usahawan Selangor dengan geran bernilai antara RM20,000 hingga RM30,000.

Selain itu, katanya, seramai 12 usahawan dikenal pasti untuk menjadi ikon usahawan India Sitham di daerah masing-masing.

“Kerajaan Negeri berharap pemberian geran peralatan dapat membantu usahawan menambah produktiviti dan penjualan mereka,” katanya lagi.