Categories
AGENSI SELANGOR

238 kawasan terima bekalan air, 36 dalam proses pulih

SHAH ALAM, 7 OKT: Sebanyak 238 kawasan menerima bekalan air setakat ini, manakala 36 lagi dalam proses pemulihan, maklum Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Ketua komunikasi korportanya berkata pemulihan bekalan air di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya kini pada tahap 87 peratus.

“Sebanyak 99 peratus pemilik akaun di Sepang dan Putrajaya sudah menerima bekalan air, Hulu Langat (88 peratus), Kuala Langat (79 peratus) dan Petaling (73 peratus).

“Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan yang masih terjejas,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman berkata bekalan air di semua 274 kawasan terjejas dijangka pulih secara berperingkat bermula esok sehingga 6 petang Jumaat.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran Sungai Semenyih.