Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

869 jangkitan sehari, kes Covid-19 ‘pecah’ rekod tertinggi

SHAH ALAM, 17 OKT: Kes Covid-19 hari ini mencatat 869 baharu, jumlah tertinggi sejak wabak melanda negara jauh mengatasi angka 691 jangkitan pada 6 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua kes membabitkan penularan tempatan.

“Daripada 869 kes, 745 membabitkan warganegara dan bakinya ialah bukan warganegara. Pertambahan ini menjadikan keseluruhan kes ialah 19, 627 ” katanya dalam siaran langsung di Facebook.

Menurut Dr Noor Hisham, Sabah terus mencatatkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 451 kes manakala Selangor (159), Kuala Lumpur (15) dan Putrajaya (dua).

“Pulau Pinang merekodkan 189 kes, Kedah (38), Sarawak (empat), Perak(empat), Terengganu (tiga), Johor (dua), Negeri Sembilan (satu) dan Melaka (satu),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata setakat jam 12 tengah hari ini, seramai 302 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 12,561 kes.

Katanya, 91 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 30 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat pertambahan empat kes kematian menjadikan jumlah kumulatif maut di negara ini sebanyak 180 kes,” katanya.