Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Catat bacaan sifar TON, LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi

SHAH ALAM, 6 OKT: Pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah mencapai tahap sifar TON (ukuran kadar bau) pagi ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan ini membolehkan pam di loji mula beroperasi untuk tugas-tugas pembersihan.

“Setelah itu, bekalan air akan disalurkan secara berperingkat kepada pengguna,” katanya menerusi Twitter.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan awal memaklumkan ujian persampelan yang dijalankan di muka sauk LRA Sungai Semenyih telah mencatatkan bacaan sifar TON tiga kali berturut.

Bagaimanapun, ujian persampelan dijalankan sehingga jam 6 pagi tadi masih mengesan pencemaran di muka sauk LRA Bukit Tampoi pada tahap dua TON.

Air Selangor memaklumkan 92 lori tangki air digerakkan ke premis kritikal, sekolah serta kawasan perumahan terjejas.

“Sebanyak 22 tangki statik, 10 stesen pengisian setempat, sembilan Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 13 pili awam juga disediakan untuk kemudahan pengguna yang terjejas,” katanya.