Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Ketua polis Petaling Jaya jalani kuarantin kendiri

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari mulai semalam.

Menurut Facebook rasmi polis daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee menjalani kuarantin setelah mempunyai kontak rapat dengan seorang Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) yang positif Covid-19 dan pernah bertemu dalam beberapa mesyuarat serta perbincangan mengenai perancangan operasi bagi membendung pandemik itu.

“PKD berkenaan pernah hadir bermesyuarat dengan pengurus keselamatan sebuah kelab golf dan pengurus berkenaan disahkan positif Covid-19 pada hari ini (semalam).

“Oleh itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood akan memangku tugas sebagai Ketua Polis Daerah sehingga keputusan dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Nik Ezanee membuat pemantauan di asrama pekerja kelab golf yang diletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula semalam sehingga 25 Okt susulan kes positif Covid-19 membabitkan pekerja yang tinggal di asrama itu.

Setakat ini, seramai 23 pekerja warga tempatan dan warga asing di asrama berkenaan dilaporkan positif Covid-19.

– BERNAMA