Categories
EXCO SELANGOR

E-Bazar Selangor 11.11 sasar 10,000 penyertaan

SHAH ALAM, 26 OKT: Seramai 10,000 pengusaha kecil sederhana (PKS) dan mikro disasar menyertai kempen beli-belah dalam talian, e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega bermula hari ini hingga 26 November depan.

EXCO pelaburan berkata rakan penganjur, Shopee dan Lazada akan memberi latihan percuma kepada peserta bagi memastikan mereka dilengkapi kemahiran dan pengetahuan dalam dunia digitalisasi.

“Kami seru semua usahawan untuk memanfaatkan peluang ini dan meneroka pasaran lebih luas. Ini membantu menjana pendapatan mereka,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Teks ucapan tersebut dibacakan Ketua Pengarah Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris dalam sidang media secara maya hari ini.

Chang Khim berkata kempen terbuka kepada peniaga beralamat di Selangor dan pendaftaran adalah percuma sepanjang ia berlangsung.

“Peniaga berminat dan boleh mendaftar di laman web www.sitec.com.my/selangorebazar/ dan mereka boleh memilih berniaga di platform Shopee atau Lazada atau kedua-duanya,” katanya.

Kempen dilancarkan hari ini membabitkan peruntukan RM2 juta untuk membantu peniaga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.