Categories
BERITA UTAMA

EXCO: Pendigitalan percuma bantu PKS tingkat urus tadbir pekerja

SHAH ALAM, 15 OKT: Program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) yang diwujudkan Kerajaan Negeri membantu peniaga melaksanakan pendigitalan operasi syarikat.

EXCO pelaburan berkata program percuma selama tiga bulan bakal memberi pendedahan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meningkatkan kecekapan urus tadbir pekerja.

“Penyedia perkhidmatan sistem yang dilantik Kerajaan Negeri akan mengajar pemilik PKS untuk menguruskan operasi perniagaan dengan efektif dan berkesan secara digitalisasi.

“Rekod kehadiran pekerja, jadual pekerja, senarai tugasan pekerja, waktu pekerja mula bekerja tidak kira di mana berada dan pelbagai urusan lagi boleh dilakukan menerusi teknologi pintar,” ucap Dato’Teng Chang Khim pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020 secara maya hari ini.

Pada 1 Oktober, Chang Khim berkata syarikat sektor pembuatan yang mempunyai pekerja tidak melebihi 200 orang dan sektor perkhidmatan tidak lebih 75 orang layak menyertai program tersebut.

Beliau berkata program tersebut membantu meringankan bebanan kos dan meningkatkan produktiviti PKS di Selangor dalam melaksanakan urus tadbir pekerja secara digitalisasi.