Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor lancar kempen 11.11 Jualan Mega Shopee, Lazada

SHAH ALAM, 26 OKT: Kerajaan Negeri melancarkan kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega selama sebulan bermula hari ini dengan peruntukan RM2 juta.

EXCO pelaburan berkata program beli-belah dalam talian dengan kerjasama Shopee dan Lazada bagi membantu peniaga berdepan krisis ekonomi berikutan penularan Covid-19.

Dato’ Teng Chang Khim menjelaskan langkah itu turut mendorong sektor perusahaan kecil dan sederhana memanfaat pendigitalan dalam perniagaan.

Dato’ Teng Chang Khim. Foto ARKIB SELANGORKINI

“Untuk kempen ini kita tidak menetapkan sasaran keuntungan, namun berharap ia melebihi program e-Bazar Raya yang dilaksana sebelum ini,” katanya menambah kedua-dua syarikat e-dagang itu masing-masing menerima subsidi baucar RM1 juta.

Teks ucapan tersebut dibacakan Ketua Pengarah Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris dalam sidang media secara maya hari ini.

Chang Khim berharap inisiatif itu dapat meningkatkan jualan dan pendapatan peniaga kecil selain menggalakkan orang ramai membeli barangan keperluan secara dalam talian.

“Saya yakin strategi pendigitalan bakal menjadi penjana baharu ekonomi Selangor dan membantu peniaga bangkit semula selepas krisis pandemik Covid-19,” kata beliau lagi.

e-Bazar Raya Selangor bersama Shopee yang dianjur pada Mei hingga Julai mencatat pulangan RM341.5 juta, melebihi sasaran awal RM8 juta.