Categories
EXCO SELANGOR

Bantuan Skim Ceria tumpu pangsapuri lebih 10 tahun – EXCO

SHAH ALAM, 2 NOV: Perumahan pangsapuri kos rendah dan sederhana dibina lebih 10 tahun akan diberi tumpuan bagi kerja baik pulih kerosakan menerusi Skim Ceria.

EXCO perumahan dan kehidupan bandar berkata kriteria itu ditambah baik oleh Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Antara aspek diberi keutamaan dalam kerja baik pulih ialah bangunan yang menjejaskan pemandangan terutama pangsapuri dalam kawasan tumpuan orang awam.

“Skim Ceria sepanjang 2020 juga memberi tumpuan bantuan gantian bumbung akibat faktor usang,” kata Rodziah Ismail ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar Rizal Ismail pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau menambah, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan penggunaan Garis Panduan Pembaharuan Semula (Urban Renewal) penempatan bandar di Selangor bagi menyelesaikan isu pangsapuri uzur dan usang.

“Ia sebagai satu mekanisme bagi membantu meningkatkan kualiti persekitaran kehidupan penduduk di bandar terutama yang tinggal di pangsapuri kos rendah,” katanya.

Pada masa sama ADN Batu Tiga berkata LPHS dan Pesuruhjaya Bangunan (COB) di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa mengemas kini data pemajuan strata bagi mengenal pasti pangsapuri yang uzur.

“Di Selangor, sebahagian besar bandarnya berusia sekitar 40 tahun. Faktor perubahan masa dan kesesuaian pembangunan masa kini menyebabkan banyak kawasan penempatan perlu diberi nafas baharu,” katanya.

Pada 1 Mac lalu SelangorKini melaporkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta di bawah Skim Ceria bagi membaik pulih kerosakan pangsapuri kos rendah dan sederhana pada tahun ini.