Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19 catat 1,755 kes baharu, tertinggi sejak virus menular

SHAH ALAM, 6 NOV: Sebanyak 1,755 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, paling tinggi dicatatkan sejak wabak tersebut melanda negara.

Ketua pengarah kesihatan berkata sejumlah 1,752 kes membabitkan warga tempatan, manakala tiga lagi melibatkan kes import.

“Kes tertinggi antaranya Sabah iaitu 1,199, Pulau Pinang (192), Selangor (164), Labuan (69) dan Negeri Sembilan (45),” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau berkata sebanyak 726 pesakit lagi berjaya sembuh dengan jumlah kes pulih semuanya 26,380.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 78 kes Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 28 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian lagi, justeru jumlah kumulatif kes yang maut ialah 279,” kata beliau lagi.